Syukur pertuduhan digugurkan, Guan Eng teruskan bertugas


Looi Sue-Chern

Menteri Kewangan Lim Guan Eng tersenyum kepada media dan penyokongnya selepas dibebaskan daripada pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 3 September, 2018.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng yang dibebaskan daripada pertuduhan rasuah hari ini berkata beliau bersyukur akhirnya dapat membersihkan namanya.

Lim, ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang didakwa melakukan rasuah kerana membeli banglonya di Jalan Pinhorn di bawah harga pasaran. Bekas tuan rumahnya, Phang Li Khoon yang menjual rumah itu kepadanya turut didakwa bersamanya.

Lim berkata beliau sangat bersyukur yang “pendakwaan terpilih dimulakan oleh rejim lama” terhadap dirinya dan Phang itu, yang menyebabkan tekanan kepada mereka dan keluarga, kini berakhir dengan mana mereka dibersihkan.

“Kami sangat bersyukur kepada Tuhan, peguam, keluarga dan penyokong. Saya berterima kasih kepada rakyat, rakan-rakan dalam DAP dan pemimpin serta ahli Pakatan Harapan, yang tidak pernah meragui bahawa saya seorang pemimpin yang bersih.

“Mereka tidak pernah meragui integriti dan perjuangan saya demi keadilan dan kebenaran, bukan saja untuk diri sendiri tetapi untuk rakyat,” katanya kepada wartawan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pagi ini selepas beliau dan Phang dibebaskan dan dilepaskan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail.

“Akhirnya, kebenaran sudah terbukti dengan pertuduhan itu digugurkan. Kami tahu pertuduhan itu hanya fitnah terhadap kami. Saya tidak mahu cakap tentang siapa yang buat begini kepada kami. Tuhan akan membalasnya.

“Bagi kami, apa yang penting selepas ini. Kami akan meraikannya sedikit tetapi kemudian meneruskan tugas lebih penting iaitu menyelamatkan ekonomi Malaysia dan membawa perumahan untuk masa depan anak-anak kita.”

Pihak pendakwaan memberitahu mahkamah hari ini ia memutuskan untuk tidak meneruskan kes itu lagi.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan membeli banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta ketika nilai pasaran hartanah itu dikatakan bernilai RM4.27 juta pada 28 Julai, 2015 – kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Beliau boleh dihukum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Phang didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Lim pada 28 Julai tahun lepas berhubung pembelian banglo itu. Beliau menghadapi hukuman yang sama di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan jika didapati bersalah.

Lim juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dan isterinya Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem untuk menukar status tanah pertanian kepada kediaman semasa mesyuarat jawatankuasa perancang negeri pada 18 Julai, 2014 – satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Huhu lge terlepas

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Nur Haimi · Ulasan