Jual kontrak kerajaan akan dianggap jenayah, kata Azmin Ali


Chan Kok Leong

Penjualan kontrak kerajaan akan dianggap sebagai satu jenayah di bawah undang-undang baharu yang sedang digubal, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 September, 2018.

PENJUALAN kontrak kerajaan akan dianggap sebagai satu jenayah di bawah undang-undang baharu yang sedang digubal, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali hari ini.

“Kabinet dan perdana menteri ada berkata pagi ini dalam ucapan pembukaan bahawa sebarang kontrak yang dianugerahkan dan dijual atau dipindah hak milik kepada pihak lain akan dibatalkan serta merta.

“Prinsip di sini jelas dan kami sedang berbincang dengan agensi berkaitan mengenai bagaimana untuk menggubal undang-undang ini unduk dikuatkuasakan,” kata Azmin pada sidang media Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau berkata Ketua Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim sudah mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan undang-undang khusus untuk menghukum individu tidak bertanggungjawab yang melakukan sabotaj ekonomi ke atas usahawan bumiputera.

“Undang-undang itu akan menghukum penjual dan pembeli kontrak kerajaan,” kata Azmin.

Awal hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kontrak yang diberikan kerajaan atau Lesen Import akan dibatalkan serta-merta jika ia dijual kepada pihak lain.

Beliau berkata Bumiputera menyisihkan diri mereka sendiri dengan menjual hak mereka untuk keuntungan segera. – 1 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen