MALAYSIA perlu undang-undang khusus untuk menghukum individu tidak bertanggungjawab yang melakukan sabotaj ekonomi ke atas usahawan bumiputera, kata Abu Kassim Mohamed.
Pengerusi Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) itu berkata ia bagi memastikan usahawan bumiputera tidak terpinggir akibat ketamakan beberapa individu berkuasa.
Beliau mendedahkan ramai usahawan bumiputera tidak mendapat peluang akibat rasuah dan salah laku oleh pihak berjawatan tinggi dalam kerajaan.
Akibat amalan itu, projek bernilai sebanyak RM57.8 juta tiris kepada bukan Bumiputera daripada sejumlah RM1.8 bilion yang dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera akibat amalan itu, katanya.
“Ada projek yang dilaksanakan oleh Bumiputera dan ada yang dilaksanakan melalui kaedah ali baba malah ada yang dilaksanakan oleh bukan Bumiputera.
“Hasrat dasar untuk melihat ekuiti ekonomi Bumiputera mencapai matlamat tidak tercapai (apabila) projek bernilai RM57.8 juta (yang) sepatutnya dikendalikan oleh Bumiputera tiris kepada bukan Bumiputera,” tambah beliau.
Tambahnya, amalan seperti kronisme, monopoli tender dan menjual kontrak menyebabkan polisi seperti dasar untuk meningkatkan taraf bumiputera menemui kegagalan, katanya.
Kerajaan tidak dapat menghukum pesalah tersebut selama ini walau individu terbabit mengkhianati hak dan keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan.
Kata Abu Kassim, kerajaan tidak boleh mengikut kaedah lama yang diamalkan oleh kerajaan sebelum ini kerana ia sudah lagi tidak relevan dengan keadaan semasa.
“Sudah sampai masanya, kita harus melihat bagaimana undang-undang yang boleh dibuat walaupun kritikal tetapi ianya terpaksa. Kita tidak boleh terus menggunakan kaedah lama,” katanya.
Menurutnya pengenalan undang-undang itu dicadangkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, satu gabungan NGO mewakili 47 pertubuhan badan bukan kerajaan.
Katanya, MTEM turut dicadangkan agar tindakan tindakan dikenakan ke atas peraturan kongsi dan pemindahan tender yang tidak sah serta perbuatan menjual, meminjam atau memajak hak.
Selain itu, MTEM juga mencadangkan hukuman ke atas syarikat yang bersetuju membenarkan peralatan khusus tertentu digunakan pihak lain.
“Ini cadangan yang dibuat oleh MTEM dan kita akan semak dan kaji sejauh mana boleh dilaksanakan.
“Saya berharap perkara ini akan dibincangkan di dalam kongres dan dibuat rumusan sebelum dibentangkan kepada kerajaan,” katanya dalam ucapan di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara hari ini.
Selain membendung rasuah dan penyelewengan, undang-undang itu juga akan membolehkan kerajaan merapatkan jurang ekonomi antara kaum, katanya. – 1 September, 2018.
Komen