Melayu semakin tersisih kerana jual hak mereka, kata Dr Mahathir


SM Amin

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dicipta untuk menjayakan orang Melayu dan Bumiputera gagal kerana mereka tidak menggunakan peluang yang ada sebaiknya, sebaliknya memberikan peluang itu kepada orang lain, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 September, 2018.

ORANG Melayu semakin tersisih di bandar kerana sikap bangsa sendiri yang menjual hak termasuk tanah kepada bukan Melayu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dicipta untuk menjayakan orang Melayu dan Bumiputera gagal kerana mereka tidak menggunakan peluang yang ada sebaiknya, sebaliknya memberikan peluang itu kepada orang lain.

“Sekarang kita lihat banyak kampung Melayu di Kuala Lumpur sudah tiada, sudah ditukar nama, mempunyai bangunan pencakar langit tetapi dalam bangunan itu bukan kita yang guna, bukan kita yang tinggal di situ atau bekerja di situ.

“Pihak lain menggunakan peluang apabila dapat membeli kontrak, AP dan sebagainya daripada orang Melayu.

“Mereka menggunakan peluang itu untuk berniaga, mendapatkan keuntungan dan besarkan syarikat-syarikat mereka sehingga mereka menjadi jutawan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN 2018) di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, proses tersebut masih berterusan kerana bandar semakin membesar dan tanah-tanah orang Melayu di luar bandar diambil untuk dibangunkan menjadi bandar.

Dr Mahathir Mohamad berkata orang Melayu dan Bumiputera itu sendiri untuk cuba menceburi bidang perniagaan dan perusahaan untuk memperkayakan diri supaya dapat mengekalkan pemilikan tanah mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 September, 2018.

Malangnya, orang Melayu seperti menerima apa yang berlaku itu dengan senang hati dan terus kekal duduk di luar bandar sekaligus tersisih dari arus pembangunan.

“Bandar bukan kita punya. Kita adalah orang di luar bandar. Dasar awal juga untuk membantu rakyat di luar bandar. Kita pula seolah-olah terima ini dengan senang hati.

“Apa yang berlaku sekarang kerana kemiskinan, mereka yang berada di luar bandar yang ditakrif sebagai miskin, terpaksa menjual tanah mereka. Mereka tidak ingin jual tetapi apa boleh buat… tawaran itu terlalu menarik.

“Harga dinaikkan sehingga kita tidak dapat tahan hati lagi maka kita pun menjual tanah kita. Bandar semakin membesar dan kita lari jauh daripada bandar. Proses ini akan berterusan,” katanya.

Jelasnya lagi, perkara ini berlaku kerana kegagalan orang Melayu dan Bumiputera itu sendiri untuk cuba menceburi bidang perniagaan dan perusahaan untuk memperkayakan diri supaya dapat mengekalkan pemilikan tanah mereka. – 1 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen