Semak semula kes Sosma, kata Anwar


SM Amin

Menurut Anwar Ibrahim yang ditemui pada majlis pelancaran bukunya hari ini, berdasarkan pengalamannya di Penjara Sungai Buloh tahanan Sosma mendapat layanan lebih teruk daripada tahanan ISA. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Ogos, 2018.

PIHAK berkuasa perlu bertindak segera menyemak semula semua kes dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana sifatnya yang menindas, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim. 

Beliau turut menambah, berdasarkan pengalamannya di Penjara Sungai Buloh, tahanan Sosma diberikan layanan lebih buruk berbanding tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) satu ketika dahulu. 

Menurutnya, ketika dalam tahanan beliau melihat sendiri banduan Sosma tidak diberikan layanan yang sewajarnya termasuk dinafikan hak berjumpa ahli keluarga dan peguam.

“Saya tidak akan membiarkan soal keganasan atau berkompromi dengan apa-apa perbuatan jenayah. Kita harus tegas.

“Tetapi kita mesti menghormati proses yang sewajarnya, dan dari yang saya perhatikan, di (Penjara) Sungai Buloh, undang-undang baru Sosma adalah yang paling teruk dari segi melayan banduan berbanding ISA.

“Saya rasa perkara ini harus diambil tindakan segera. Pihak berkuasa seperti polis (perlu) semak semula kes-kes ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku “Anwar Return: The Final Twist” di Hotel Hilton, Kuala Lumpur hari ini. 

Sosma digubal dan diluluskan pentadbiran Barisan Nasional pada 2012 sebagai langkah-langkah khas kesalahan keselamatan bagi “melindungi” kesejahteraan dan keselamatan awam. Ia menggantikan ISA yang dimansuhkan pada 2011. 

Anwar Ibrahim hari ini berkata, semua kes Sosma perlu disemak segera. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Ogos, 2018.

Menurut Anwar lagi, kerajaan tidak wajar menahan individu di bawah Sosma hanya kerana kesalahan seperti memakai baju Kumpulan Pengganas Negara Syria dan Iraq (IS), dan beliau akan membincangkan perkara ini dengan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.

“Kajian sedang dijalankan, dan kita memang perlu undang-undang bagi menangani aktiviti keganasan. Apa yang saya persoalkan ialah tindakan yang seolah-olah tiada batasan, fleksibiliti undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa buat keputusan tanpa alasan kukuh.

“Sebagai contoh jika anda dibebaskan, sementara menunggu rayuan (oleh pihak berkuasa), anda masih ditahan di dalam penjara. 

“Ini pada pandangan saya bukan satu rangka kerja undang-undang yang bersesuaian untuk sebuah negara yang bebas dan demokratik,” ujarnya.

Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas berkata Sosma akan dihapuskan seperti mana janji kerajaan Pakatan Harapan, tetapi ia akan mengambil masa.

Hari ini pula, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata beliau menyokong pemansuhan Sosma kerana ia satu bentuk kezaliman.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jawatankuasa Khas Kajian Undang-Undang Berkaitan Keselamatan yang ditubuhkan akan meneliti semula undang-undang berkaitan keselamatan menerusi KDN termasuk Sosma.

Kira-kira 160 tahanan Sosma mengadakan mogok lapar sejak jam 8 pagi semalam di Penjara Sungai Buloh bagi mendesak kerajaan menghapuskan akta berkenaan.

Mereka adalah sebahagian daripada 215 tahanan Sosma yang ditahan di sana. Mogok itu dihentikan selepas pertemuan dengan Hanipa hari ini. – 26 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen