TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin secara peribadi menyokong cadangan pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Mohamed Hanipa berkata akta berkenaan harus dibatalkan kerana ia disifatkan sebagai satu bentuk kezaliman.
“Sosma adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan saya tidak boleh masuk campur cuma kalau ingin dibatalkan saya secara peribadi tiada masalah.
“Saya difahamkan mengikut mesyuarat pasca Kabinet sebelum ini, satu jawatankuasa khas telah diwujudkan untuk meneliti isu Sosma,” katanya selepas bertemu ahli keluarga tahanan Penjara Sungai Buloh di sini, hari ini.
Lebih 100 ahli keluarga berkumpul di hadapan penjara sejak pukul 11 pagi selepas kira-kira 160 tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh di sini mengadakan mogok lapar sejak malam tadi mendesak kerajaan memansuhkan akta itu.
Beliau turut meminta tahanan Sosma berhenti mengadakan mogok lapar kerana ia boleh membahayakan kesihatan.
“Semua tahu apakah mesej yang mereka (tahanan) ingin sampaikan jadi saya harap mereka berhenti, jangan sampai bahayakan nyawa,” katanya.
Selain itu, Peguam Negara, Tommy Thomas dilaporkan berkata Sosma akan dimansuhkan seperti yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). – Bernama, 25 Ogos, 2018.
Komen