AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 akan dimansuhkan kerana ia mencabul hak asasi individu, kata Peguam Negara Tommy Thomas.
Bagaimanapun, kerajaan memerlukan masa untuk memansuhkan undang-undang pencegahan tersebut kerana ia mendapat sokongan penjawat awam dan agensi penguatkuasa, tambahnya.
Thomas menegaskan perkara itu pada satu forum hari ini bagi menjawab kritikan orang ramai tentang tindakan lambat kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan akta tersebut walapun berjanji untuk berbuat demikian dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.
“Terdapat bantahan daripada penjawat awam, pegawai kementerian dalam negeri berhubung langkah memansuhkan undang-undang itu.
“Saya amat terkejut bahawa terdapat peguam dari Majlis Peguam Malaysia yang juga tidak mahu ia dimansuhkan.
“Namun SOSMA melanggar hak asasi manusia dan perlu dimansuhkan tetapi cuma memerlukan masa,” katanya pada forum yang dianjurkan oleh Persatuan Alumni Malaysia Fakulti Ekonomi London dan Insitutu Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi.
SOSMA yang pada awalnya diwujudkan bagi menentang keganasan, membolehkan pihak berkuasa untuk menahan suspek selama 28 hari.
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia berkata agensi yang menguatkuasakan SOSMA menyalahgunakan undang-undang itu apabila menahan individu secara tidak adil termasuk bermotifkan politik semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Thomas mengulas tentang kebimbangan bahawa suspek ditahan lebih 28 hari di bawah SOSMA selain tarikh perbicaraan mereka ditangguhkan oleh Jabatan Peguam Negara.
Beliau ditanya sama ada AGC akan menyelesaikan aduan tersebut sementara kerajaan meneruskan usaha untuk memansuhkan SOSMA.
Sebagai langkah sementara, Thomas meminta pihak yang terjejas ekoran penahanan di bawah SOSMA untuk mengadukan perkara itu kepada beliau sendiri.
“Buat aduan kepada saya, pastikan ia diserahkan secara saya sendiri dan tindakan akan diambil. Ini merupakan langkah sementara.
Kira-kira 215 tahan SOSMA yang berada di penjara Sungai Buloh melancarkan mogok lapar sejak 8 pagi semalam bagi menuntut kerajaan Pakatan Harapan memenuhi janji memansuhkan undang-undang tersebut.
Menurut laporan Malaysiakini, kira-kira 200 ahli keluarga tahanan tersebut turut mengadakan bantahan di depan penjara itu bagi menuntut pembebasan ahli keluarga mereka. – 25 Ogos, 2018.
Komen