KEM Rafizi Ramli perlu membuktikan semua tuduhan terhadap lawan mereka dalam pemilihan PKR termasuk dakwaan adanya amalan kronisme dan komplot menyekat Anwar Ibrahim jadi perdana menteri, kata calon ketua wanita Haniza Talha.
“Saya nak tanya apa bukti kronisme itu? Cuba bagi bukti. Bagi bukti substantif untuk sokong kenyataan anda.
“Kita tak mahu tuduhan-tuduhan semata-mata. Kita mesti bawa bukti. Apa yang dimaksudkan kronisme itu?” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.
Haniza merujuk kenyataan pesaingnya Fuziah Salleh yang menjelaskan matlamat beliau bertanding kerusi ketua wanita PKR untuk membuang kronisme dalam parti.
Beliau juga merujuk kepada kenyataan beberapa calon dalam pasukan Rafizi yang menuduh penyandang timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali didalangi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan penasihat kerajaan Daim Zainuddin.
Kata Haniza, dakwaan itu mengarut dan menunjukkan mereka “ketandusan idea”.
“Saya lihat tuduhan ini adalah pihak ketandusan fakta (dan) hujah untuk mencabar pihak lawan. Jadi terpaksa berpegang pada tuduhan-tuduhan,” kata Adun Lembah Jaya yang menyokong kepimpinan Azmin itu.

Semalam, Anwar mendedahkan beliau sudah menasihati Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid supaya membetulkan dakwaan kononnya ada plot menyekatnya jadi perdana menteri.
Katanya, beliau tidak mahu dakwaan Abdullah itu menular dengan lebih serius.
“Saya dengan Tun M tak ada masalah… jadi saya nasihat dia, terutama supaya tidak menular, buat pembetulan,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.
Pasukan Rafizi melalui Abdullah dalam kempen di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan baru-baru ini mengheret nama Dr Mahathir dan Daim ke dalam kempen pemilihan PKR.
Mereka mendakwa Dr Mahathir dan Daim mahu merosakkan PKR dengan memperalatkan pemimpin PKR sendiri. Mereka juga menuduh ada anasir dalam PKR yang merancang menjatuhkan Anwar supaya tidak jadi perdana menteri Malaysia kelapan.
Dalam kempen yang dilanjutkan ke Sabah hujung minggu lalu, mereka menghantar mesej bahawa Anwar hanya akan jadi perdana menteri sekiranya Rafizi diangkat sebagai timbalan presiden PKR, dan bukannya Azmin.
Pasukan Rafizi dengan slogan Reformasi 20 tahun juga berkempen mahu mengembalikan prinsip reformasi ke dalam parti.
Ada pimpinan mendakwa PKR Selangor mengamalkan kronisme sehingga menyebabkan dua pemimpin negeri meletakkan jawatan tanda protes.
Mengulas kempen itu, Haniza berkata pihaknya tidak akan berbuat perkara sama kerana hanya merendahkan maruah sendiri.
Tindakan tuduhan tanpa bukti dan memburukkan pihak lawan hanya memberikan persepsi negatif kepada akar umbi, katanya.
“Saya tak akan menggunakan kaedah itu, kaedah menyerang peribadi. Dan saya lihat, bila turun kebawah ahli parti merasa jelak dengan sikap macam ini. Mereka menolak pempin yang ambil pendekatan macam ini. Sebab mereka rasakan sangat memalukan parti.
“Saya rasa mereka terdesak. Saya tak nak labelkan siapa-siapa tapi tindakan mereka terdesak mahukan perhatian mahukan supaya mereka dipilih. Tapi saya rasa itu memakan diri mereka semula,” katanya lagi.
Dalam pemilihan PKR, Haniza memilih Adun Sementa, Daroyah Alwi sebagai regunya, manakala Fuziah bergandingan dengan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail.
800,000 anggota parti akan memilih pimpinan tertinggi parti pada September ini dengan menggunakan undi elektronik. – 23 Ogos, 2018.
Komen