KEMPEN pasukan Reformasi 20 Tahun bukan sahaja mensasarkan lawan mereka dari dalam PKR tetapi juga Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan penasihat kerajaan Daim Zainuddin.
Calon yang berucap dalam majlis kempen di Ayer Keroh pada malam tadi antara lainnya mendakwa, Dr Mahathir dan Daim menaja sesetengah pemimpin PKR.
Salah seorang calon, Adun Ijok Dr Idris Ahmad, mendakwa kedua-duanya menggunakan pemimpin PKR bagi memusnahkan parti itu dari dalam.
“Saya tahu watak jahat Dr Mahathir dengan dibantu Daim. Jangan percaya mereka, tengok bagaimana Dr Mahathir dan Daim gunakan pemimpin kita dalam PKR menjadi boneka mereka untuk menjatuhkan PKR,” dakwanya.
Tanpa menyebut nama mana-mana individu, beliau mendakwa pemimpin tertentu dalam PKR mendapat untung apabila pemimpin mereka Anwar Ibrahim dilucut jawatan dan dipenjarakan.
“Kita kena pandang apa yang berlaku melangkaui apa yang ada di hadapan kita. Masa zaman Reformasi dulu banyak pemimpin kita yang berjuang tidak ada kerja, tapi ada segelintir orang dari PKR perniagaan mereka berkembang.
“Mereka dapat AP, perniagaan mereka meningkat, mereka ditaja tangan tersembunyi, siapa dia ini semua, inilah pengkhianat PKR, jadi tuan-tuan fikir betul-betul,” katanya sewaktu berucap hadapan kira-kira 300 ahli PKR di sebuah hotel di Ayer Keroh, malam tadi.
Beliau sehubungan itu menyeru 800,000 ahli parti yang akan mengundi dalam pemilihan mereka September depan supaya mengenali antara kawan dan lawan mereka.
“Kita kena tahu siapa kawan siapa lawan dan siapa yang nak musnahkan parti dari dalam parti kita,” tambah Dr Idris yang yang bertanding jawatan majlis pimpinan pusat PKR kali ini.
Beliau sebelum ini disebut-sebut sebagai calon menteri besar untuk mengantikan Azmin Ali.
Calon naib presiden, Wong Chen pula berkata, barisan calon mereka juga tidak mempunyai harta yang melampau seperti lawan.
“Setiap calon pasukan kita sudah isytihar aset, maknanya kita antirasuah, tiada apa nak simpan-simpan,” katanya.
Wong mengakui sewaktu bertugas sebagai peguam korporat, beliau mampu memiliki sehingga dua buah kereta.
“(Tapi) lawan kita ada hingga tujuh dan lapan kereta. Saya juga tiada rumah (besar seperti) Disneyland,” katanya lagi tanpa menyebut sebarang nama.
Seorang lagi calon majlis pimpinan pusat, G Manivannan seterusnya membangkitkan mengenai anasir dalam PKR yang didakwa cuba menggagalkan rancangan menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan.
“Jangan biarkan anasir dalam PKR buat spekulasi dan merancang pelan menjatuhkan Anwar. Kita tak boleh benarkan perkara itu berlaku. Kita tak boleh benarkan sesiapa buat pelan menjatuhkan Anwar dan PKR,” katanya.
Melaka yang menjadi negeri ketiga dilawati pasukan Reformasi 20 Tahun ini mempunyai enam Cabang PKR dengan keahlian dianggarkan berjumlah hampir 23,500 ahli.
Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin pada Julai lalu berkata, PKR Melaka menyokong penuh gandingan Anwar dan Azmin Ali untuk menerajui parti itu.
Pasukan dipimpin Rafizi Ramli berkempen untuk memberi saingan sengit kepada pasukan Azmin Ali yang bertanding untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden.
Sejak Jumaat lalu, pasukan Rafizi menjelajah ke negeri-negeri di Selatan tanah air, bermula di Johor, Negeri Sembilan, dan pada malam tadi di Melaka.
Kelibat Nurul Izzah Anwar, yang dinamakan sebagai calon naib presiden daripada pasukan Reformasi 20 Tahun bagaimanapun tidak kelihatan dalam ketiga-tiga jelajah itu. – 13 Ogos, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh [email protected] · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ahmad Hashim · Ulasan