Selamatkan PKR daripada terbabas, kata Rafizi


Mohd Farhan Darwis

Rafizi berkata, walaupun PKR kini merupakan parti yang menaungi kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya, gerakan reformasi tidak seharusnya terhenti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Julai, 2018.

SEMANGAT perjuangan reformasi perlu diterapkan kembali dalam PKR agar tidak tersasar daripada tujuan asal penubuhannya iaitu melaksanakan reformasi, kata calon timbalan presiden Rafizi Ramli.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata, walaupun PKR kini merupakan parti yang menaungi kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, gerakan reformasi tidak seharusnya terhenti.

“Reformasi bukan terhenti apabila kita jadi kerajaan, makin kita menang makin kita kena pegang supaya apabila kita jadi kerajaan kita tidak menzalimi orang lain,” katanya, ketika berucap dalam majlis mengumumkan barisan calon kepimpinan yang bersamanya dalam pemilihan PKR kali ini.

Dalam ucapannya, Rafizi turut menggariskan empat alasan kenapa beliau mengambil keputusan untuk mencabar penyandang kedudukan nombor dua dalam PKR, Mohamed Azmin Ali, yang kini menteri hal ehwal ekonomi.

Alasan pertamanya adalah untuk memastikan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri kelapan.

“Saya bukan taksub dengan Anwar, tapi Anwar kena jadi perdana menteri kelapan. Jadi beliau perlu mendapat mandat penuh daripada barisan kepimpinan parti,” katanya.

Alasan yang kedua, memperkukuhkan PH dan seterusnya menguasai negeri-negeri yang masih diperintah pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-15. 

Ketiga, untuk mengekalkan gerakan reformasi, yang terakhir adalah untuk menjaga kebajikan ahli PKR dan mencadangkan penubuhan sebuah koperasi untuk manfaat ahli parti. 

“Kita perlu elak budaya feudal, tunggu cium tangan pemimpin, budaya wang, budaya jawatan dalam parti itu kita tolak, jangan ada mana-mana pemimpin bawa budaya kotor ini dalam parti,” katanya.

Dalam majlis itu, Rafizi turut mengumumkan barisan calon kepimpinan sayap parti itu yang bersamanya dalam pemilihan kali ini

Calon ketua wanita PKR, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mengambil pendirian untuk bersama-sama Rafizi, sementara Ahli Parlimen Johor Baru Akmal Nasir bertanding jawatan ketua pemuda PKR (AMK).

Rafizi turut menamakan empat calon bagi jawatan naib presiden, iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Selayang William Leong, Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul, dan Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan.

“Saya telah berbincang dengan Nurul Izzah, dan beliau akan umum sendiri secara rasmi keputusan beliau untuk bertanding ataupun tidak, cuma saya bagi sedikit gambaran sahaja, gambar dia sudah bersama dengan kita.

“Saya jumpa dia bersama Johari pada Rabu lepas, InsyaAllah Nurul Izzah akan bersama kita. Hari ini beliau tidak dapat hadir kerana ada program yang lebih awal dirancang di Permatang Pauh.

“Jadi saya berbesar hati untuk sama-sama berkerja dengan Nurul Izzah sebagai calon naib presiden kita yang pertama,” kata Rafizi lagi.

Nama-nama lain yang diperkenalkan bagi calon majlis pimpinan pusat adalah seperti berikut:

  • calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, S Streram
  • Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani 
  • Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun 
  • Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh 
  • Adun Ijok Dr Idris Ahmad
  • Ahli Parlimen Subang Wong Chen
  • Adun Semambu Lee Chean Chung
  • Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow
  • bekas calon DUN Hutan Melintang G Manivanan 
  • Adun Bukit Selambau Summugam
  • Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad 
  • Adun Batu Maung Abdul Halim Hussain.

Selain itu, turut dinamakan adalah:

  • Ketua Cabang PKR Klang Bun Lai 
  • bekas ahli Parlimen Lumut Mohamad Imran Abd Hamid 
  • Dr Zaleha Ismail 
  • Ahli Parlimen Merbok Nurin Aina
  • Mohd Amin Abdul yang mewakili PKR Sabah. – 29 Julai, 2018.

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen