ANWAR Ibrahim sebagai Presiden PKR sememangnya wajar memberi amaran kepada calon pemilihan PKR yang menggunakan politik kotor dalam kempen pemilihan parti yang sedang berjalan sekarang.
Ketua Wanitanya Zuraida Kamaruddin berkata era politik kotor sudah berlalu dan tidak sepatutnya diamalkan dalam PKR kerana parti dalam Pakatan Harapan itu kini sebahagian daripada kerajaan.
“Saya rasa memang sesuai seorang yang bakal presiden kepada parti Keadilan, yang akan memimpin parti Keadilan mengeluarkan satu amaran kepada mereka yang mengamalkan politik kotor walaupun dalam peringkat pemilihan parti.
“Jadi, tepat pada masanya Anwar berkata sedemikian, memberi amaran kepada mereka yang mengamalkan politik kotor dalam parti Keadilan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Girl2Leader di Hotel Corus, Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Anwar mengingatkan calon pemilihan PKR supaya tidak menggunakan taktik kotor, atau bersedia berdepan akibatnya. Politik kotor yang dimaksudkan itu termasuk membeli undi, mengugut dan fitnah kerana ia bertentangan dengan peraturan parti.
“Kita sudah berlalu (tinggalkan) era gutter politics (terutamanya apabila) kita memegang jawatan (dalam) kerajaan. jadi saya rasa tak patut nak mengamalkan politik kotor ni.
“Saya harap kawan-kawan yang dalam kempen ini, yang masih lagi mengamalkan politik serangan peribadi saya ingat harus tinggalkan perkara itu dan perlu lihat bagaimana mereka akan bawa perubahan kepada parti dan kepada negara” kata Zuraida.
Zuraida yang bertanding jawatan naib presiden diminta mengulas laporan serangan peribadi yang dilakukan oleh sesetengah calon dalam kempen pemilihan sekarang.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun tidak menyebut beliau merujuk kepada mana-mana individu.
Pasukan Rafizi Ramli yang berkempen di tiga negeri di selatan Johor, Negeri Sembilan dan Melaka hujung minggu lepas meminta ahli PKR menolak Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden kerana kononnya ditaja oleh Dr Mahathir dan Daim Zainuddin.
Rafizi mencabar Azmin untuk jawatan timbalan presiden PKR.
Pasukan Rafizi mendakwa Dr Mahathir dan Daim mahu merosakkan PKR dengan memperalatkan pemimpin PKR sendiri. Mereka juga menuduh ada anasir dalam PKR yang merancang menjatuhkan Anwar supaya tidak jadi perdana menteri Malaysia kelapan.
Mesej sama diulangi dalam kempen yang bergerak ke Sabah hujung minggu ini.
Lebih 800,000 ahli PKR akan memilih barisan pimpinan parti itu untuk penggal sehingga 2012. Pemilihan akan bermula 14 September secara berperingkat mengikut negeri sehingga pertengahan Oktober. – 19 Ogos, 2018.
Komen