Jangan main kotor, kata Anwar pada calon pemilihan PKR


Kamles Kumar

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengingatkan ahli PKR yang bertanding dalam pemilihan parti supaya tidak melakukan taktik kotor, atau bersedia berdepan akibatnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Ogos, 2018.

ANWAR Ibrahim mengingatkan calon pemilihan PKR supaya tidak menggunakan taktik kotor, atau bersedia berdepan akibatnya.

Presiden PKR itu memberi amaran kepada mereka supaya tidak melakukan kegiatan membeli undi, intimidasi dan fitnah kerana ia bertentangan dengan peraturan.

“Meraka harus jaga tingkah laku. Tidak boleh ada beli undi, intimidasi dan fitnah.

“Kami akan ambil tindakan (jika mereka tertangkap),” kata Anwar kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sasterawan, penulis dan budayawan, hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata terdapat cakap-cakap yang mendakwa beliau menggunakan penyandang naib presiden PKR Rafizi Ramli sebagai alat politiknya.

“Rafizi adalah seorang intelektual awam, tidak akan mudah diperkotak-katikkan oleh mana-mana personaliti.

“Saya tidak mahu terus diheret dalam (isu) antara individu-individu yang bertanding,” katanya.

Beliau percaya kedua-dua penyandang timbalan presiden PKR Azmin Ali dan Rafizi akan menjaga tata tertib pada pemilihan parti.

“Mereka semua rakan-rakan saya dan saya percaya mereka akan jaga tingkah laku mereka,” tambahnya.

Pemilihan PKR akan diadakan bermula 14 September sehingga 7 Oktober, dan bakal menyaksikan 800,000 ahli membuang undi secara berperingkat menggunakan sistem undian elektronik.

Anwar menang tanpa bertanding jawatan presiden. – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen