CALON Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh mempertahankan kempen pasukan Rafizi Ramli sebagai bukan serangan peribadi ke atas mana-mana pemimpin sebaliknya semata-mata untuk mengukuhkan parti.
Katanya, kempen itu bukan bertujuan memburukkan mana-mana individu tetapi mendedahkan salah laku pemimpin, yang malah tidak salah di sisi Islam.
“Pada saya kita bukan nak menjatuhkan parti, kita nak mengukuhkan parti. Jadi sekiranya ada teguran berkenaan dengan pemimpin-pemimpin, yang dilihat sebagai negatif, itu teguran akar umbi yang harus dilihat serius,” katanya dalam temu bual dengan The Malaysian Insight.
Beliau berkata teguran terhadap pemimpin itu ikhlas, semata-mata mahu PKR kekal di landasan “agenda reformasi yang sebenar”, dan bukannya untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin.
“Bukan untuk menjatuhkan macam kita hendak lawan BN dulu, bukan untuk pecah belahkan parti tapi untuk mengukuhkan dan arah hala tuju parti yang lebih baik.
“Insya-Allah, kita tak akan buat sesuatu yang akan merosakkan, menghancurkan parti,” katanya.
Fuziah bagaimanapun berkata sekiranya ada mana-mana pihak yang tidak puas hati dengan kempen berkenaan, mereka berhak mengadu kepada jawatan kuasa disiplin, selaras dengan amalan demokrasi dalam parti.
Fuziah menyertai pasukan Rafizi sebagai calon ketua Wanita, berganding dengan wakil rakyat DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail sebagai timbalannya. Mereka berdepan dengan Adun Lembah Jaya Haniza Talha yang memilih Adun Sementa Daroyah Alwi sebagai regunya.
Beliau sebelum ini mengajak lawannya berdebat menjelang pemilihan PKR yang akan bermula proses pengundiannya pada 14 September ini.
Kempen pasukan Rafizi sejak minggu lalu jadi perhatian apabila dilihat secara terbuka menyerang timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali yang mahu mempertahankan jawatannya.
Azmin, timbalan presiden sejak 2010, dicabar oleh Rafizi yang membariskan pasukannya mewakili jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (PPP) serta sayap Pemuda dan Wanita.
Pasukan Rafizi hujung minggu ini berkempen di Sabah selepas menamatkan kempen di tiga negeri di selatan Semenanjung Malaysia – Johor, Melaka dan Negeri Sembilan – hujung minggu lepas.
Dalam pada itu, Fuziah enggan melayan desakan beberapa pimpinan Wanita PKR supaya beliau minta maaf kerana kenyataannya mendakwa sayap itu mengamalkan budaya “pak turut”.
“Saya tidak lihat kenapa saya harus minta maaf kerana saya tidak menujukan apa-apa dengan sesiapa.
“Saya hanya bercakap tentang budaya yang saya lihat, bukan budaya yang membina untuk Wanita PKR masa hadapan.
“Bila kita hormat pemimpin ia tidak bermaksud kita setuju dengan segalanya. Saya mahu bimbing wanita sehingga mereka boleh nyatakan mereka setuju untuk tidak bersetuju. Mereka boleh berhujah dan memberikan pandangan,” katanya, yang pernah memimpin sayap itu antara 2000 hingga 2007.
Beliau yang kini timbalan menteri agama dikritik keras selepas membuat kenyataan bahawa sayap wanita itu kurang lantang bersuara sebagai antara alasan beliau menawarkan diri sekali lagi mahu mengemudinya.
Pesaingnya, Haniza dalam reaksi balas menegaskan pemimpin sayap itu bukanlah pak turut malah terbukti lantang kerana pernah mengkritik isu pencalonan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Beberapa pimpinan wanita turut menggesa Fuziah menarik semula kenyataannya termasuk Wanita PKR Sarawak. – 19 Ogos, 2018.
Komen