Selepas Rafizi, calon wanita PKR pula ajak debat


Nabihah Hamid

SEORANG lagi calon dalam pasukan Rafizi Ramli tampil mencabar pesaingnya berdebat menjelang pemilihan PKR, yang pengundiannya bermula pertengahan bulan depan.

Calon Ketua Wanita, Fuziah Salleh berkata melalui pentas debatlah seseorang calon boleh mengemukakan idea yang akan dinilai oleh lebih 800,000 ahli PKR yang akan memilih mereka.

Fuziah berkata, beliau sedia berdebat pada bila-bila masa kalau ada pihak yang mahu menganjurkan debat antara beliau dengan lawannya Haniza Talha.

“Saya bersedia, bila-bila sahaja. Kalau saya dipanggil, insya-Allah, saya bersedia. 

“Bila kita letak sebelah menyebelah, orang ramai boleh menilai daripada soalan yang sama, bagaimana pendirian, pendekatan, cara pemikiran dan hujah-hujah yang diketengahkan.

“Maka ia lebih adil untuk (hampir) 900,000 ahli ini hendak memilih,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di Putrajaya.

Dalam satu wawancara dengan Astro Awani pada Rabu, Rafizi berkata adalah memalukan sekiranya debat pemilihan PKR tidak dibuat memandangkan Umno pun sanggup mengadakannya semasa pemilihan parti itu Jun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

Fuziah, yang pernah memimpin sayap Wanita PKR atara 2000 hingga 2007, berpendapat debat juga satu ruang bagi calon pergerakan itu menyampaikan perancangan masing-masing untuk memartabatkan kaum wanita.  

Fuziah berkata demikian ketika ditanya pandangannya mengenai debat calon pemilihan PKR selepas Rafizi menyuarakan kesediaan berdebat dengan penyandang kerusi timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali. 

Dalam pemilihan PKR, Fuziah yang bergandingan dengan wakil rakyat DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail berdepan dengan Haniza, Adun Lembah Jaya yang memilih Adun Sementa, Daroyah Alwi sebagai regunya.

Dalam satu wawancara dengan Astro Awani pada Rabu, Rafizi berkata adalah memalukan sekiranya debat pemilihan PKR tidak dibuat memandangkan Umno pun sanggup mengadakannya semasa pemilihan parti itu Jun lalu.

“Saya cukup bersedia malah saya rasa kalau tidak ada perdebatan itu sangat memalukan kerana Umno dah buat, Umno dah mula dulu. Saya rasa itu budaya yang baik,” kata Rafizi.

Azmin bagaimanapun menolak pelawaan Rafizi kerana tidak melihat ada keperluan untuk ia dibuat secara langsung di televisyen.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Rafizi atas pelawaan tersebut tapi saya rasa tidak perlu kerana ia pemilihan dalaman parti.

“Ini bukan pemilihan presiden atau terus di mana anda mahukan penglibatan rakyat,” kata ahli Parlimen Gombak itu. – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen