CALON timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau sedia berdebat dengan penyandangnya Mohamed Azmin Ali sekiranya ada penganjur yang sanggup menyiarkannya secara langsung.
Naib presiden PKR itu juga berkata amat memalukan sekiranya debat pemilihan PKR tidak dibuat memandangkan parti lawan, Umno sanggup mengadakannya dalam pemilihan parti itu untuk jawatan presiden Jun lalu.
“Saya cukup bersedia malah saya rasa kalau tidak ada perdebatan itu sangat memalukan kerana Umno dah buat Umno dah mula dulu. Saya rasa itu budaya yang baik,” kata Rafizi dalam satu siaran bual bicara di Astro Awani malam ini.
Beliau menjawab pertanyaan moderator Kamarul Bahrin sama ada sedia berdebat dengan lawannya Azmin Ali yang juga menteri hal ehwal ekonomi dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad.
Pada 30 Jun lalu, Buat pertama kalinya, tiga calon utama bagi jawatan presiden Umno berdebat dan menjawab pelbagai isu berkaitan dengan soal pemilihan parti itu di saluran TV yang sama.
Dua calon tersebut Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin berada di studio Astro Awani manakala seorang lagi calon Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berlintas langsung dari Bagan Datuk.
Rafizi muncul di program Astro Awani malam ini selepas berkempen di tiga negeri di selatan tanah air, hujung minggu lalu bersama pasukannya yang digelar Reformasi 20 Tahun.
Kempen pasukan itu menerima kecaman meluas dari Geng Kartel, nama gelaran untuk pasukan lawannya, kerana didakwa bersifat melampau ekoran serangan ke atas peribadi calon.
Antara pemimpin dalam Geng Kartel yang menjadi sasaran utama adalah calon lawan Rafizi, Azmin Ali yang juga menteri hal ehwal ekonomi.
Turut menjadi sasaran adalah calon naib presiden, Zuraida Kamarudin yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan. – 15 Ogos, 2018
Komen