PEMANDU bas RapidKl yang merempuh tujuh kenderaan malam semalam dijangka keluar dari Hospital Ampang hari ini, kata polis.
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Zulkifli Yahya menafikan dakwaan bahawa pemandu tersebut sudah meninggal dunia, sebaliknya berkata lelaki itu akan keluar dari hospital pada pukul 3 petang ini.
“Kami percaya dia cedera di kepala selepas didakwa dipukul oleh orang awam yang menangkapnya semalam.
“Pihak polis akan menyiasat perkara ini jika pemandu itu membuat laporan polis.”
Menurut Zulkifli, tiada penumpang berada di dalam bas ketika kejadian berlaku.
Tujuh kenderaan rosak dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8 malam semalam.
Pemandu bas dipercayai cuba melarikan diri dari tempat kejadian di depan bangunan Risda di Jalan Ampang.
Video insiden terbabit juga viral di media sosial.
RapidKL hari ini berkata pemilik kenderaan yang dirempuh bas berkenaan boleh menuntut ganti rugi.
Ketua Pegawai Operasi RapidKL Shamsul Rizal Mohd Yusof berkata pemilik kenderaan berkenaan perlu menghubungi RapidKL di talian 03-7885 2585 untuk proses tuntutan.
Mengulas lanjut insiden itu, beliau berkata pemandu bas laluan Datuk Keramat menuju Ampang Point itu berkhidmat sejak dua tahun lepas dan mempunyai rekod yang baik. – 17 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan