Dr Mahathir perkukuh kedudukan dengan lanjutkan CEP, kata penyokong Anwar


Kamles Kumar

Ahli Parlimen PKR Kapar, Abdullah Sani sebelum ini mendakwa sokongan Dr Mahathir dan Daim kepada Azmin dalam pemilihan PKR merupakan cara untuk halang Anwar menjadi PM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2018

KEPUTUSAN Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengekalkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) melepasi 100 hari Pakatan Harapan berkuasa membuktikan beliau enggan menyerahkan kuasa.

Ahli Parlimen PKR Kapar, Abdullah Sani berkata ini menunjukkan Dr Mahathir belum bersedia untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada bakal presiden PKR Anwar Ibrahim sebagaimana yang dipersetujui.

“Terdapat laporan berita hari ini mengatakan beliau (Dr Mahathir) melanjutkan CEP untuk tempoh yang panjang. Apa maknanya? Ia bermakna beliau belum bersedia melepaskan jawatan itu kepada Anwar,” kata Abdullah kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Tambah Abdullah terdapat beberapa kumpulan yang mahu menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

“Terdapat beberapa kumpulan yang menghalang Anwar daripada menjadi PM,” katanya.

Beliau berkata, Dr Mahathir perlu menetapkan rangka masa dan mengumumkannya bila beliau akan meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi PM.

“Rakyat mahu tahu bila beliau akan menyerahkan jawatannya,” tambahnya.

Beliau merujuk kepada pengumuman yang dibuat oleh Dr Mahathir hari ini bahawa khidmat CEP masih diperlukan dan ia tidak akan dibubarkan minggu ini.

CEP diumumkan oleh Dr Mahathir pada 12 Mei dan ditugaskan untuk menasihatkan kerajaan baharu PH berhubung perkara melibatkan ekonomi dan kewangan ketika peralihan kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional.

Majlis itu diketuai oleh bekas menteri kewangan Daim Zainuddin. Majlis itu turut disertai bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan CEO Petronas Hassan Merican, jutawan Robert Kuok dan pakar ekonomi Dr Jomo Kwame Sundaram.

Susulan daripada pengumuman Dr Mahathir itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali mempertahanan tindakan itu dan berkata ia bukan bermakna kabinet tidak 
berfungsi.

“Semua cadangan akan dikembalikan semula kepada Kabinet untuk kami bincang,” kata Azmin.

Kritikan Abdullah terhadap Dr Mahathir hari ini merupakan kesinambungan serangannya yang mendakwa Dr Mahathir dan Daim menyokong Azmin dalam pemilihan PKR sebagai cara untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Abdullah merupakan antara penyokong Rafizi, yang mencabar Azmin untuk jawatan timbalan presiden PKR. – 16 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen