Saya masih perlukan Majlis Penasihat, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak akan dibubarkan kerana ia masih diperlukan, kata Dr Mahathir Mohamad.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Ogos, 2018.

MAJLIS Penasihat Kerajaan (CEP) tidak akan dibubarkan kerana ia masih diperlukan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata khidmat mereka diperlukan sehingga kesemua masalah selesai.

“Ia tidak akan dibubarkan. Mereka kata tugas mereka sudah tamat, tapi saya belum lagi buat keputusan.

“Saya tak pernah kata ia akan (bubar) dalam tempoh 100 hari. Saya masih perlukan khidmat mereka,” katanya selepas melancarkan Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.

Pengarah Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel baru-baru ini dilaporkan mendakwa CEP dan jawatankuasa siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan dibubarkan.

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin adalah pengerusi CEP yang ditugaskan untuk membantu melicinkan pentadbiran negara.

Gabriel, yang merupakan sebahagian daripada jawatankuasa yang menyiasat 1MDB berkata ia sepatutnya dibubarkan selepas 100 hari pertama pentadbiran PH iaitu esok.

Selain Gabriel, jawatankuasa itu turut melibatkan bekas peguam negara Abu Talib Othman, Rakan Kongsi Risk Assurance Services PwC Nik Shahrizal Sulaiman, Rakan Kongsi Kanan, Naqiz & Partners Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar dan Penasihat Kanan Otoritas Jasa Keuangan Indonesia Faris Rabidin. – 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen