Dr Fahmi Ngah calon Seri Setia?


The Malaysian Insight

Nama penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor, Dr Fahmi Ngah muncul sebagai calon pilihan utama PKR untuk PKR DUN Seri Setia, kata sumber. – Gambar Facebook, 14 Ogos, 2018.

PENASIHAT ekonomi kerajaan negeri Selangor, Dr Fahmi Ngah kini muncul calon pilihan utama PKR untuk Pilihan Raya Kecil (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, kata beberapa sumber.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu mendapat sokongan lapan ranting di cabang Seri Setia yang mencadangkan beliau sebagai calon.

Sumber yang maklum mengenai cadangan itu memberitahu Dr Fahmi dilihat calon berwibawa serta berpendidikan tinggi setanding bekas wakil rakyatnya, Dr Shahruddin Baharuddin.

“Lapan ranting menghantar surat kepada pimpinan mencadangkan Dr Fahmi sebagai calon. Mereka merasakan dia adalah aset bagus kerana taraf pendidikan dia tinggi. Dia juga calon tempatan.

“Dia calon yang sepadan sebagai pengganti kerana calon yang dulu profesor dan naib canselor,” kata sumber yang tahu mengenai proses pemilihan calon PKR kepada The Malaysian Insight.

Kerusi DUN Seri Setia kosong ekoran kematian Shahruddin di Hospital Putrajaya pada 2 Ogos lalu kerana barah usus tahap empat.

Shaharudin pada PRU14 menang dengan majoriti 19,372 mengalahkan tiga calon lain dari PAS, BN dan Bebas.

Nama naik semula

Dalam pada itu, sumber lain yang juga akar umbi di Seri Setia, mengakui Dr Fahmi lebih disukai masyarakat kerana melakukan gerak kerja di kawasan itu sejak 2014 lagi.

“Beliau sudah lama bantu masyarakat sini. Isu sampah di flat, beliau juga selesaikan. Sebelum ini, kami mahu beliau sebagai calon tetapi namanya ditukar pada saat akhir,” kata sumber itu merujuk kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menjelang PRU14 yang baru lalu, Dr Fahmi disebut-sebut dicadangkan sebagai calon DUN Kota Anggerik. Beliau yang dikatakan dekat dengan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli juga disebut-sebut mahu dimajukan sebagai calon menteri besar Selangor pada masa itu.

Sementara itu, seorang lagi sumber berkata nama Dr Fahmi naik dalam pertimbangan kerana prestasi cemerlangnya mengendalikan program Smart Selangor di bawah syarikat milik kerajaan negeri, Menteri Besar Inc. (MBI).

Smart Selangor ialah program yang dirintis oleh Azmin Ali ketika menjadi menteri besar Selangor yang bertujuan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat melalui penggunaan teknologi pintar.

Nama-nama lain

Sementara itu, seorang lagi sumber mendedahkan beberapa nama lain juga dipertimbangkan untuk mewakili PKR dalam pilihan raya kecil Seri Setia, termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Pertimbangan ini untuk menyiapkan kawasan Parlimen yang boleh ditandingi oleh Anwar Ibrahim sebagai permulaan proses untuk jadi perdana menteri kelapan, tambah sumber.

Sebelum ini nama Nurul Izzah dikata dicadangkan sebagai calon Seri Setia bagi membuka jalan untuk Anwar, yang juga ayahnya, jadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

“Langkah Seri Setia” itu akan memulakan proses peralihan kuasa Anwar sebagai perdana menteri, seperti yang dipersetujui bersama empat komponen Pakatan Harapan sebelum PRU pada 9 Mei.

Namun, Anwar berkata beliau tidak maklum mengenai hal tersebut dan akan pertimbangkan sekiranya terdapat cadangan.

Negeri cadang calon lain

Bagaimanapun, sumber dalaman PKR lain mendedahkan pimpinan parti di Selangor mahu menamakan bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Halimey Abu Bakar dan Dr Yaakob Sapari.

“Nama Halimey naik sebab sudah lama bertapak di Seri Setia. Dia pun bekas ahli majlis.

“Nama Dr Yaakob juga dipertimbangkan kerana setia kepada parti sebelum ini walaupun namanya digugurkan di DUN Kota Anggerik pada pilihan raya lepas,” kata sumber yang enggan dinamakan.

PKR Selangor juga mencadangkan dua lagi nama iaitu peguam Nuranie Haziqah dan bekas penyelaras DUN Kota Damansara Radzlan Jalal.

Dalam pada itu, The Malaysian Insight difahamkan kedudukan calon PRK DUN Seri Setia tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik PKR malam ini.

Timbalan Presiden PKR Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor, berkata “masih ada masa” untuk parti memutuskan nama calon sebelum Jumaat ini.

“Ini perjumpaan mingguan biro politik. Sempat lagi nak bincangkan (nama calon). Selalunya kita tak buat awal, biasanya satu atau dua hari sebelum penamaan calon,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

The Malaysian Insight juga difahamkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kini berada di Langkawi atas urusan kerja bersama barisan exconya dan tidak akan menghadiri mesyuarat biro politik malam ini. – 14 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen