EXCO hal ehwal agama Selangor, Prof Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia petang ini di Hospital Putrajaya.
Setiausaha kanannya Zafrullah Aris berkata Adun Seri Setia itu meninggal dunia pada jam 6.28 petang ini di Hospital Putrajaya.
“Jenazah Almarhum akan dibawa pulang ke rumah di Desa Pinggiran Putra dan urusan pengebumian akan dilakukan esok,” katanya dalam satu kenyataan.
Perkara itu juga disahkan anak allahyarham, Atiqah dalam satu kenyataan.
Setiausaha politik allahyarham, Borhan Aman Shah pula berkata jenazah akan disemadikan di tanah perkuburan Kampung Limau Manis, dekat Putrajaya esok.
Sementara itu, Menteri Besar Amirudin Shari dalam kenyataannya mengenang naib presiden PKR itu sebagai ahli akademik terkemuka yang banyak berjasa dalam bidang pendidikan.
Bekas timbalan naib canselor Universiti Selangor itu juga sebelum ini menjadi pengajar selama 30 tahun di Universiti Teknologi Mara.
“Jasa dan pengorbanan beliau sebagai ahli akademik dalam mendidik anak bangsa serta merencana polisi pendidikan adalah tidak ternilai,” kata Amirudin.
Beliau juga menyifatkan bekas aktivis Abim itu sebagai sahabat rapat dan rakan seperjuangannya dalam politik.
“Genap sebulan setelah pemergian allahyarham Haji Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu, kini saya menerima ujian kehilangan seorang lagi sahabat seperjuangan
“Dengan khidmat bakti dan pengorbanan yang telah disumbangkan Allahyarham semasa hayat beliau, pemergian ini adalah satu kehilangan besar buat rakyat dan kerajaan negeri Selangor.
“Semoga Allah memberi ganjaran yang baik atas segala jasa dan budi allahyarham,” katanya lagi.
Dalam pilihan raya umum 9 Mei, Shaharuddin memenangi kerusi Seri Setia dengan 29,250 undi.
Beliau menewaskan tiga pencabar Yusoff M Haniff dari BN, Mohd Ghazali Daud dari PAS dan calon Bebas, S Vigneswaran. – 2 Ogos, 2018.
Komen