AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dicadangkan sebagai calon PKR untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Seri Setia, dalam langkah politik yang akan membuka jalan untuk ayahnya, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, kata sumber parti.
“Langkah Seri Setia” itu akan memulakan proses peralihan kuasa untuk Anwar menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, seperti yang dipersetujui bersama empat komponen Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum 9 Mei.
Setelah menjadi wakil rakyat negeri, Nurul Izzah seterusnya akan meletak jawatan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memaksa PRK yang akan ditandingi oleh Anwar, kata mereka.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh dianggap selamat untuk Anwar, jelas sumber.
Anwar menang kerusi itu sejak mula bertanding pilihan raya pada 1982 dan selepas itu hanya dimenangi oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan sekarang Nurul Izzah.
Namun cadangan pimpinan kanan PKR pusat itu akan ditimbang dengan cadangan PKR Selangor yang mengusulkan nama bekas Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari yang digugurkan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Susunannya untuk Nurul Izzah, untuk beri laluan kepada Anwar, manakala Yaakob namanya naik sebab beliau calon berpengalaman,” kata sumber yang maklum akan perbincangan parti mengenai PRK Seri Setia bulan depan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelmarin menetapkan PRK Seri Setia diadakan serentak dengan PRK Balakong pada 8 September ini.
“Yaakob membuktikan kesetiaannya pada parti walaupun tidak dicalonkan pada PRU14,” tambah sumber itu, merujuk pada sumbangan timbalan pengerusi PKR Selangor itu dalam PRK Sungai Kandis yang baru lalu.
Kerusi Seri Setia kosong ekoran kematian Prof Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada 2 Ogos lalu kerana barah usus tahap empat.
Shaharudin pada PRU14 menang dengan majoriti 19,372 mengalahkan tiga calon lain daripada PAS, Barisan Nasional dan Bebas.
Hilang kelayakan Parlimen
Sekiranya letak jawatan ahli Parlimen, Nurul Izzah akan hilang kelayakan bertanding kerusi Dewan Rakyat untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa dari tarikh letak jawatan, mengikut Artikel 48(6) Perlembagaan Persekutuan. Beliau ahli Parlimen masuk penggal ketiga sejak PRU 2008.

Undang-undang sama juga ada dalam undang-undang tubuh negeri bagi kelayakan Adun.
Bagi Selangor, undang-undang tubuhnya menyebut mengenai wakil rakyat negeri yang meletak jawatan “Adun negeri itu atau negeri-negeri lain”. Ia tidak menyebut kedudukan wakil rakyat yang meletak jawatan di Dewan Rakyat.
Sementara itu, penganalisis politik Dr Faisal S.Hazis melihat langkah politik ini mungkin untuk memberi Nurul Izzah peranan di peringkat negeri Selangor sekiranya beliau memberi laluan kepada bapanya di Permatang Pauh.
“Agak sukar bagi beliau yang memegang kerusi Permatang Pauh, namun ia mungkin berlaku,” kata pengarah Pusat Kajian Asia Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) itu.
Namun Faisal berkata tidak munasabah untuk Nurul Izzah menjadi wakil rakyat di Parlimen dan di DUN.
“Jika Anwar jadi perdana menteri, tak mungkin Nurul Izzah berada di Parlimen kerana ia dianggap nepotisme. Mungkin ini untuk beri Nurul Izzah peranan di negeri.
“Adakah ini kita boleh kata ‘Langkah Seri Setia’ yang merupakan tindakan besar seperti ‘Langkah Kajang’?” katanya.
Nurul Izzah sebelum ini berkali-kali keras menafikan akan letak jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh, kawasan yang beliau sifatkan sebagai “cinta abadinya.”
“Cinta pertama dan kedua saya adalah Parlimen Lembah Pantai, namun Permatang Pauh adalah cinta abadi saya,” katanya kepada media di Parlimen pada Isnin lalu.
Sumber bagaimanapun yakin puteri reformasi itu akan mengorbankan cinta abadi demi kelangsungan politik bapanya, dan memastikan Anwar menjadi perdana menteri.
“Mana Nurul Izzah lebih sayang, Permatang Pauh atau kelangsungan politik Anwar?” tanyanya.
Dalam pada itu, pensyarah politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi melihat percaturan politik itu mungkin juga untuk mengekang pengaruh bekas menteri besar Mohamed Azmin Ali di Selangor.
Beliau juga yakin parti akan memastikan Nurul Izzah dapat tempat sebagai exco kerajaan negeri.
“Ia juga boleh kurangkan pengaruh Azmin di Selangor kerana (negeri itu) dikuasai orang Azmin. Langkah yang diatur Anwar untuk menembusi PKR Selangor kerana selama ini didominasi Azmin,” katanya. – 11 Ogos, 2018.
Komen