PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mencabar pihak yang mendakwa beliau dan Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin cuba menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan supaya memberi bukti bagi menyokong dakwaan mereka itu.
“Mereka perlu minta orang yang mulakan dakwaan supaya buktikannya,” kata Dr Mahathir selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah di Putrajaya hari ini.
Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu berkata beliau tidak mencampuri urusan parti lain.
Perdana menteri mengulas dakwaan pemimpin-pemimpin PKR iaitu beliau dan Daim cuba menghalang Anwar menjadi perdana menteri kelapan.
Dakwaan tersebut dibuat oleh beberapa pemimpin PKR dalam pasukan Rafizi yang akan mencabar Azmin Ali bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti.
Semalam, salah seorang calon, Adun Ijok Dr Idris Ahmad, mendakwa Dr Mahathir dan Daim menggunakan pemimpin PKR bagi memusnahkan parti itu dari dalam.
“Saya tahu watak jahat Dr Mahathir dengan dibantu Daim. Jangan percaya mereka, tengok bagaimana Dr Mahathir dan Daim gunakan pemimpin kita dalam PKR menjadi boneka mereka untuk menjatuhkan PKR,” dakwanya.
Beberapa pemimpin PKR lain juga mendakwa Anwar tidak akan menjadi perdana menteri sekiranya Azmin menang jawatan timbalan presiden.
Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani yang sebelum ini menuduh Daim dalang di sebalik kempen menghalang Anwar jadi perdana menteri, berkata akan menyerahkan bukti bagi menyokong dakwaannya itu.
“Saya boleh buktikan tetapi kena ikut siri lawatan saya ke negeri-negeri, sebab yang penting ahli-ahli sendiri menghadam perkara itu,” beliau dipetik berkata oleh portal Free Malaysia Today hari ini.
Menurut Abdullah, dakwaannya itu adalah berdasarkan kenyataan-kenyataan Daim yang menggambarkan terdapat campur tangan luar biasa bagi menghalang peralihan kuasa itu berlaku.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyifatkan dakwaan pasukan Rafizi itu sebagai “tuduhan liar dan fitnah” serta kurang beradab.
Beliau berkata pemimpin tertinggi PKR harus bersikap tegas terhadap ahli yang memfitnah ketua parti komponen PH lain.
“Pemimpin atasan PKR perlu tegas dalam hal ini. Mereka perlu membuktikan bahawa mereka tidak bersetuju dengan sikap yang biadap.
“Jika tidak, rakyat akan menganggap bahawa pemimpin atasan PKR meredhai fitnah dan perangai buruk yang ditunjukkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Wan Saiful lagi, mereka yang bertanding dalam pemilihan untuk merebut jawatan dalam parti sepatutnya bercakap mengenai hal ehwal parti sendiri dan bukannya memfitnah pemimpin parti lain.
Lebih 800,000 ahli PKR akan memilih barisan pimpinan parti itu untuk penggal sehingga 2012. Pemilihan akan bermula 14 September secara berperingkat mengikut negeri sehingga pertengahan Oktober. – 13 Ogos, 2018.
Komen