PKR harus menyatakan sikap berhubung tindakan beberapa pemimpinnya yang mengheret Dr Mahathir Mohamad dalam kempen pemilihan parti itu kononnya perdana menteri mahu menyekat Anwar Ibrahim daripada menggantikan beliau, kata pemimpin Bersatu.
Pasukan Rafizi Ramli yang berkempen di tiga negeri di selatan Johor, Negeri Sembilan dan Melaka hujung minggu lepas meminta ahli PKR menolak Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden kerana kononnya ditaja oleh Dr Mahathir dan Daim Zainuddin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyifatkan tindakan pasukan Rafizi, yang mencabar Azmin untuk jawatan nombor dua dalam PKR, sebagai “tuduhan liar dan fitnah” serta kurang beradab.
“Pemimpin atasan PKR perlu tegas dalam hal ini. Mereka perlu membuktikan bahawa mereka tidak bersetuju dengan sikap yang biadap.
“Jika tidak, rakyat akan menganggap bahawa pemimpin atasan PKR meredhai fitnah dan perangai buruk yang ditunjukkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Pasukan Rafizi mendakwa Dr Mahathir dan Daim mahu merosakkan PKR dengan memperalatkan pemimpin PKR sendiri. Mereka juga menuduh ada anasir dalam PKR yang merancang menjatuhkan Anwar supaya tidak jadi perdana menteri Malaysia kelapan.
Dalam kempen di Johor pada Jumaat, mereka menghantar mesej yang Anwar hanya akan jadi perdana menteri sekiranya Rafizi diangkat sebagai timbalan presiden PKR, dan bukannya Azmin.
Menurut Wan Saiful, dalam kempen pemilihan parti, mereka yang masuk bertanding merebut jawatan dalam parti sepatutnya bercakap mengenai hal ehwal parti sendiri dan bukannya memfitnah pemimpin parti lain.
Jelas beliau, perangai semacam itu tidak diajar oleh Dr Mahathir dalam Bersatu, yang sebaliknya mengajar Bersatu agar hormat semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan (PH).
“Dalam kami menghormati persahabatan yang dibina, janganlah pula ada pemimpin parti lain yang celupar memfitnah semata-mata kerana nafsu mahu mengejar jawatan dunia.
“Perangai buruk tidak berakhlak ini bukan budaya yang kita mahu bentuk dalam gabungan PH. Jangan heret orang lain masuk ke dalam perpecahan teruk parti sendiri,” katanya.
Lebih 800,000 ahli PKR akan memilih barisan pimpinan parti itu untuk penggal sehingga 2012. Pemilihan akan bermula 14 September secara berperingkat mengikut negeri sehingga pertengahan Oktober. – 13 Ogos, 2018.
Komen