TINDAKAN Ami Along pada satu malam lapan tahun yang lalu di bulan Mac jadi pencetus kepada sekatan Orang Asli Gua Musang yang kini mendapat perhatian ramai termasuklah perdana menteri.
Malam itu Ami dan ketua kampung lapan perkampungan sekitar Pos Simpor dan Pos Tohoi tanpa sedar menandatangani surat sokongan memberikan akses tanah adat mereka di hutan simpan Balah kepada syarikat perladangan.
Malam itu, Ami dan rakan-rakan tok batinnya meletakkan kepercayaan kepada susuk tokoh berpengaruh dalam suku kaum Temiar yang tanpa mereka duga memperdayakan mereka.
Kisah ini bukanlah asing kepada orang Temiar Gua Musang. Menurut badan bukan kerajaan (NGO) Orang Asli, ia kisah serupa yang banyak kali berlaku dalam konflik antara masyarakat orang asal dengan syarikat perladangan dan pembalakan di seluruh negara.
Penduduk perkampungan Orang Asli yang berpakat dengan syarikat berkenaan sehingga merugikan komuniti sendiri adalah punca pergelutan yang berlaku sekarang, kata Presiden Jaringan Orang Asli Malaysia (Joas) Yusri Ahon.
“Ia berlaku di seluruh negara dan banyak kampung. Ia selalunya melibatkan ketua kampung yang memajak tanah Orang Asli kepada syarikat untuk kepentingan peribadi. Sebab itulah syarikat ini dapat masuk (tanah adat),” kata Yusri kepada The Malaysian Insight.
Individu ini selalunya terdesak untuk mendapatkan wang tunai bagi menampung gaya hidup mereka, kata Yusri, seorang suku kaum Jahut dari Jerantut, Pahang.
Misalnya, ketua kampung yang tak pernah cukup elaun bulanan tiba-tiba mampu beli kereta baharu dengan duit yang diterimanya.
Ketua kampung adalah penghulu atau tok batin, bergantung kepada suku kaum dan negeri, mendapat elaun bulanan daripada kerajaan persekutuan atau negeri.
“Tetapi mereka tak pandai urus, jadi mereka terpaksa cari sumber pendapatan lain. Mereka ambil jalan mudah dengan memajak tanah adat kepada peladang atau pembalak.”
Yusri dari Kampung Sungai Mai berkata perkara sama berlaku di kampung asalnya, penduduk di situ sedang berjuang menentang pencerobohan pembalak dan peladang.

Diperdaya tokoh berpengaruh
Kuala Betis di Gua Musang menyaksikan pergelutan tegang antara penduduk suku kaum Temiar dan syarikat perladangan yang dakwa mereka memusnahkan tanah adat mereka.
Konflik itu mencapai kemuncaknya apabila sekumpulan lelaki bergergaji besi memusnahkan sekatan kayu dibuat penduduk kampung di jalan masuk dari Kuala Betis ke ladang getah, nenas dan durian.
Aktivis Jaringan Orang Asli Kelantan (Jkoak) mendakwa syarikat perladangan itu secara haram menceroboh tanah yang merupakan sumber bekalan air bersih dan makanan mereka.
Peladang, bagaimanapun, mendakwa yang mereka mempunyai surat yang ditandatangani ketua masyarkat itu yang menyatakan sokongan kepada operasi syarikat berkenaaan.
Ami dari Kampung Jadel di Pos Simpor mendakwa beliau turut berada bersama ketika surat itu ditandatangani, dan sebenarnya beliau dan ketua komuniti itu ditipu oleh tokoh Orang Asli yang mereka hormati.
Ceritanya disokong oleh seorang lagi penduduk kampung, Azmi Badul yang mendakwa membantu individu itu memproses surat tersebut.
Pada malam surat itu ditandatangani, Ami mendakwa individu yang bersubahat dengan syarikat perladangan itu menjelaskan kepada ketua komuniti yang dokumen itu adalah untuk menentang pembalakan yang berlaku di hutan.
“Beliau menjelaskan kepada kami tentang hak kami ke atas tanah adat dan bagaimana kami boleh melindunginya. Semua orang tertarik dengan idea tersebut dan menyokongnya.”
Pada tengah malam, ditemani cahaya lampu minyak tanah, pensubahat itu membawa hampir 10 pucuk surat, kata Ami. Sekilas pandang, surat itu dialamatkan kepada 10 syarikat perladangan dan menyatakan bantahan komuniti kepada rancangan mereka.
“Jadi ketua tandatangan surat memikirkan yang ia adalah salinan. Kami tak sedar yang surat akhir sekali adalah surat sokongan.”
Taktik licik itu hanya dikesan keesokan harinya oleh Azmi, yang ketika itu, bekerja membantu pensubahat itu.
“Beliau adalah orang berpengaruh dalam kalangan Temiar. Beliau dikenali ramai, karismatik dan pandai bercakap. Beliau berhubung dengan dunia luar. Saya pandang tinggi beliau.”
Azmi melihat sendiri surat sokongan itu bercampur dengan surat bantahan. Beliau menyedari semua yang berlaku apabila melihat peta kawasan operasi ladang.
“Ketika itu, saya tak tahu hendak buat apa dengan maklumat yang saya ada. Tetapi selepas berbincang dengan ketua kampung, kami pergi buat laporan dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa).
“Ia berlaku sebulan kemudian (laporan). Tetapi mereka tak buat apa-apa,” kata Azmi yang kini adalah aktivis Joas.
Hanif Mohd Kudus, jurucakap kepada dua syarikat perladangan terlibat dalam konflik itu menafikan dakwaan Orang Asli ditipu.
“Surat itu disokong oleh Jakoa. Jabatan itu tidak akan menyojong surat berkenaan jika ia tidak sah,” kata Haniff yang mewakili KPF Maju Entreprises dan Fleet Precision Sdn Bhd.
Dua syarikat berkenaan menguruskan penorehan getah, getah klon balak dan penanaman nenas berhampiran dengan perkampungan Orang Asli.
Hanif juga terlibat dalam projek penanaman durian Musang King di atas 400 hektar tanah di kawasan sama.
“Projek ini sah disokong oleh kerajaan negeri dan kami ada surat sokongan. Kami buat semuanya ikut undang-undang.” – 12 Ogos, 2018.
Komen