DR Mahathir Mohamad menyatakan sokongan penuh pada suku Orang Asli yang menuntut pengiktirafan ke atas tanah adat masyarakat itu di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan.
Perdana menteri berkata kerajaan juga bersimpati dengan keadaan dihadapi komuniti Temiar yang terpaksa membina sekatan bagi menghalang kegiatan pembalakan dan pertanian di kawasan hutan itu.
Bagaimanapun kerajaan persekutuan perlu merundingkan perkara itu dengan kerajaan negeri mengikut undang-undang, kata Dr Mahathir ketika mengulas tuntutan dari komuniti tersebut.
“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk selesaikan perkara ini mengikut undang-undang.
“Apa-apa yang kita ingin lakukan, kita perlu berunding dgn kerajaan PAS di Kelantan. Kita akan carilah cara-cara yang mengikut undang-undang.
“Jika kuasa (pewartaan tanah adat) sepenuhnya di bawah kerajaan pusat, kita boleh bertindak sekarang juga,” katanya kepada pemberita selepas menemui wakil masyarakat tersebut.
Dr Mahathir turut mengiringi wakil aktivis berkenaan dan bertemu 200 orang aktivis Orang Asli itu yang berhimpun sejak pagi di luar kompleks bangunan Jabatan Perdana Menteri.
Aktivis daripada Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) itu menuntut kerajaan untuk menyelesaikan konflik dengan pembalak dan pengusaha ladang yang berlarutan sejak lima bulan lalu.
Malah mereka terpaksa mendirikan sekatan bagi menghalang aktiviti berkenaan menghalang kemusnahan terhadap mata pencarian, bekalan makanan, sumber air yang bersih.
Konflik itu memuncak pada 4 Ogos lalu apabila sekatan didirikan minoriti Temiar berkenaan dimusnahkan kumpulan individu dipercayai diupah syarikat terbabit.
Wakil kumpulan masyarakat Temiar yang bertemu dengan Dr Mahathir pada hari ini diketuai pengerusi JKOAK, Mustafa Along.
Turut serta adalah pengerusi belianya, Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah yang menyatakan rasa terharu kerana Dr Mahathir sudi bertemu mereka.
“Saya sangat tersentuh dengan tindakan segera dan kesanggupan beliau untuk bertemu dengan kami. Kami dapat menyampaikan tuntutan kami dan beliau juga bersimpati dengan nasib yang dihadapi oleh kami,” kata beliau kepada pemberita.
Sementara itu presiden NGO Pertubuhan Pelindung Khazanah Malaysia Shariffah Sabrina Syed Akil yang turut hadir dalam pertemuan itu berkata kesudian itu menunjukkan Dr Mahathir Mohamad serius dalam mencari jalan penyelesian.
“Tindakan beliau yang sanggup turun daripada pejabatnya untuk bertemu dengan 200 aktivis merupakan satu petanda yang amat positif. Ini menunjukkan kerajaan sangat mengambil berat isu ini,” jelas beliau. – 10 Ogos, 2018
Komen