Cukai pelancongan hanya untuk pelancong asing, kata menteri


Muzliza Mustafa

PUTRAJAYA hari ini mengumumkan untuk hanya mengenakan cukai pelancongan bagi penginapan hotel kepada pelancong asing dengan caj sebanyak RM10 untuk satu bilik.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz berkata rakyat Malaysia akan dikecualikan daripada cukai ini.

“Rakyat Malaysia akan dikecualikan daripada cukai pelancongan. Ia hanya akan dikenakan ke atas pelancong asing,” kata Nazri dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

“Ia juga tidak akan dikenakan ke atas penginapan yang mempunyai kurang daripada lima bilik,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Seremban (DAP) Anthony Loke.

Tambah Nazri lagi, semua homestay yang berdaftar dengan Tourism Malaysia juga mendapat pengecualian ini.

Pelaksanaan cukai ini akan dilakukan Jabatan Kastam kerana jabatan itu menyarankan agar kadar cukai ini diselaraskan, katanya.

Cukai pelancongan diluluskan di Parlimen pada sesi yang lepas dan diwartakan pada 21 Jun.

Ia sepatutnya dilaksanakan pada 1 Ogos tetapi ditangguhkan selepas mendapat bantahan daripada Sabah dan Sarawak.

Satu tarikh baru akan diumumkan Perdana Menteri Najib Razak. – 26 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen