CUKAI pelancongan yang dijangka menambah ratusan juta dolar ke dalam tabung kerajaan, berkuatkuasa pada 1 Julai, menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz.
Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017 tidak akan ditangguhkan, seperti dilaporkan sebelum ini oleh sebuah portal berita tempatan, tetapi akan dikenakan ke atas tetamu di hotel dan penginapan lain yang direkodkan dalam pangkalan data kementerian itu dalam tempoh tiga minggu lagi.
Nazri berkata mengikut prosedur, warta ke atas cukai adalah automatik sebaik sahaja ia diluluskan Dewan Rakyat pada April.
“Jika kita mahu mengatakan ia tidak diwartakan, ia betul. Tetapi ia tidak boleh menghalang kehendak ahli Parlimen kita, yang meluluskan dengan sebulat suara melaksanakan cukai ini.
“Ia akan dilaksanakan. Jadi sasaran kita adalah 1 Julai,” kata beliau dipetik agensi berita Bernama.
Pengusaha premis penginapan perlu mendaftar pada 1 Julai.
Cukai pelancongan adalah berdasarkan penarafan premis penginapan. Penginapan lima bintang akan dikenakan RM20 bagi setiap malam; empat bintang (RM10); tiga hingga empat bintang (RM5); dan premis penginapan tiada penarafan (RM2.50).
Nazri berkata kerajaan bakal mengumpul RM654.62 juta daripada cukai.
Tiga persatuan hotel utama – Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel (MAHO) dan Pertubuhan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) –menentang cukai baru ini.
Presiden MAH Cheah Swee Hee berkata cukai baru “memudaratkan” industri perhotelan dan pelancongan, sambil menambah pemilik hotel tidak sewajarnya memungut cukai bagi pihak kerajaan. – 9 Jun, 2017.
Komen