Pertikaian cukai pelancongan memuncak, Sarawak tarik diri dari Lembaga Pelancongan


Bede Hong

KERAJAAN Sarawak menarik diri daripada terlibat dalam Lembaga Pelancongan Malaysia berkuat kuasa serta merta.

“Kerajaan Negeri merasakan penglibatan wakilnya dalam Pelancongan Malaysia tidak diperlukan lagi kerana pertindihan peranan dan fungsi dalam Lembaga Promosi Pelancongan Sarawak,” kata Sarawak dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu yang dikeluarkan pejabat ketua menteri tengahari tadi tidak memberikan sebab penarikan itu.

Pemimpin negeri hari ini mengecam kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz semalam.

Nazri menggelarkan menteri pelancongan Sarawak Abdul Karim Hamzah setahun jagung dan berkata Karim tidak sepatutnya berkelakuan seperti samseng.

“Tindakan melabelkan menteri Sarawak itu sebagai setahun jagung dan masih budak lagi adalah satu penghinaan terhadap Karim yang telah diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan negeri untuk menerajui kementerian berkenaan di peringkat negeri,” kata Ketua Pemuda BN Sarawak Fadillah Yusof dalam satu kenyataan hari ini.

“Tindakan melabelkan sesama kita sebagai ‘samseng’ juga tidak wajar sama sekali kerana ia bukan sahaja satu penghinaan kepada individu terbabit malah boleh menjejaskan imej parti, apa lagi samseng bukanlah budaya dalam BN, apatah lagi dalam PBB,” kata Fadillah yang juga merupakan menteri kerja raya Sarawak.

Semalam, Nazri memperlekehkan Karim kerana menentang cukai itu.

“Karim hanya menteri baharu, dia tak sepatutnya berlagak. Jika dia tidak faham apa-apa dia patut jumpa saya. Saya juga menteri Barisan Nasional,” kata Nazri kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Jumaat lalu, Karim mengatakan yang kerajaan negeri tidak dibawa berunding mengenai cukai pelancongan dan mendesak ia ditangguhkan.

Naib Presiden PKR Sarawak See Chee How juga mengkritik kenyataan Nazri.

“ Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah betul (tindakan) berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia,” kata ahli dewan undangan negeri Batu Lintang itu seperti dipetik dalam akhbar The Borneo Post hari ini.

“Datuk Seri Nazri Aziz yang jahil, dan dia juga sangat sombong,” kata See.

Menerusi cukai baru itu yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai depan, semua penginapan hotel di seluruh negara akan dikenakan caj antara RM2.50 sehingga RM20 sehari.

Nazri yang membentangkan usul itu pada April berkata yang kerajaan bakal mengutip RM654.62 juta daripada cukai itu.

Malaysia menerima 26.8 juta pelancong pada 2016 mengikut kementerian pelancongan. Daripada jumlah itu, Sarawak menerima 2.26 juta pelancong asing dan 2.4 juta pelancong tempatan dari Semenanjung dan Sabah menurut jabatan imigresen Sarawak.

Kumpulan pendesak pro-autonomi Sarawak for Sarawakians (S4S) juga mengecam kenyataan Nazri.

Peter John Jaban, jurucakap kumpulan itu berkata Karim “hanya memberikan” pandangannya dalam mempertahankan “hak yang termaktub” untuk Sarawak.

“Selaku menteri lama, Nazri yang angkuh sepatutnya tidak bertindak sedemikian yang boleh memberi risiko kepada hubungan antara Sarawak dan Malaya. Sebaliknya, dia sepatutnya menjadi teladan yang baik selaku menteri lama kepada menteri yang masih baru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Rakyat Sarawak makin lama merasakan (mereka) jadi mangsa (tertindas). Ini adalah salah satu sebab mengapa Sarawak sudah tidak mahu lagi menjadi sebahagian daripada persekutuan,” kata Peter.

Jurucakap S4S Zon Utara Bill Jugah juga berkata dalam kenyataan hari ini yang dua menteri itu sewajarnya “menyelesaikan semua pertikaian” sebelum mengumumkan perubahan besar dalam percukaian yang memberi kesan kepada Sarawak.

Dia berkata yang rumah tumpangan dan hotel berada di bawah bidang kuasa Ordinan Kerajaan Tempatan Sabah & Sarawak 1961 Seksyen 49 (46)(i) dan cukai baru ini “pastinya merompak” pendapatan pengendali persendirian ini. – 12 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen