Umno bincang tawaran, realiti baharu tanpa Najib


SM Amin

TAWARAN dan harapan baru Umno kepada rakyat merupakan antara perbincangan utama dalam pemukiman pertama parti itu sejak tewas dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Sumber menyebut, pemukiman selama dua hari yang bermula semalam di Janda Baik juga menumpukan kepada usaha mengubah corak pemikiran pemimpin parti bagi menyedari realiti.

Perkara itu merupakan tumpuan utama oleh Presiden Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan pembukaannya semalam, kata sumber kepada The Malaysiani Insight.

“Presiden mengingatkan kepada semua, perlu ada strategi dan tawaran baru kepada rakyat supaya Umno dapat kembali meraih sokongan rakyat dan kekal relevan dalam politik tanahair,” kata sumber itu lagi.

Katanya program berbentuk bengkel itu turut membincangkan mengenai pergerakan struktur organisasi parti, perancangan program untuk menarik sokongan rakyat dan juga pengurusan media.

Zahid dijangka akan merumuskan hasil perbincangan bengkel tersebut petang ini.

Ia dihadiri sekitar 300 peserta yang terdiri daripada empat peringkat pemimpin Umno, termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri. 

Turut hadir sebagai peserta adalah ahli Parlimen dan ketua Bahagian Umno seluruh negara, kata sumber lagi.

Pemukiman parti itu juga menjadi perhatian memandangkan barisan pemimpin parti sudahpun menyuarakan saranan untuk meminggirkan bekas presiden Najib Razak.

Antaranya, setiausaha agung Annuar Musa dan bekas menteri kewangan Johari Abdul Ghani yang menganggap Najib sebagai bebanan kepada parti.

Serangan itu timbul apabila bekas perdana menteri itu dihadapkan ke mahkamah sekali lagi, Selasa lalu untuk tiga lagi pertuduhan.

Najib meletak jawatan presiden Umno beberapa hari selepas parti itu kecundang dalam pilihan raya umum 9 Mei. – 10 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen