Najib jadi beban, kata Umno


Kamles Kumar

UMNO memilih untuk menjarakkan dirinya daripada bekas presiden Najib Razak, menggambarkan beliau sebagai “beban” yang perlu parti singkirkan bagi membolehkan ia mendapat semula sokongan.

Serangan yang mengejutkan dibuat oleh setiausaha agung parti, Annuar Musa berlaku hanya beberapa jam selepas bekas perdana menteri itu dikenakan tiga lagi pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

Dulu, Annuar mempertahankan Najib ketika tuduhan mengaitkannya dengan kleptokrasi dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mula-mula timbul.

Tetapi dalam temu bual dengan The Malaysian Insight semalam, Annuar berkata daripada mempertahankan Najib yang dituduh pelbagai tuduhan, Umno sepatutnya putuskan saja ikatan dengan bekas presiden itu dan fokus kepada pembinaan semula parti.

“Kami perlu teruskan perjalanan ini. Kami tidak akan tunggu. Kami tidak akan bazirkan masa mempertahankan Najib,” kata Annuar dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insight.

“Kami dalam Umno tidak boleh bawa beban ini selamanya. Perlu diputuskan. Jika ini semua tanggungjawab beliau (Najib).”

Semalam, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Tiga lagi pertuduhan tambahan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bekas pemimpin Umno itu kini berdepan tujuh pertuduhan. Empat pertuduhan pada 4 Julai termasuk tiga tuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa. Semua pertuduhan setakat ini berkaitan dengan SRC International.

Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata Najib bukan lagi perdana menteri dan presiden Umno, jadi parti patut meneruskan perjuangan dengan kepimpinan baharu.

“Najib hanya satu orang, tidak ada orang yang amat diperlukan. Najib bukan lagi presiden parti, bagi saya beliau hanya ahli parti.

“Sama ada orang sokong dia atau tidak, ia tidak penting. Parti lebih penting berbanding mana-mana individu,” kata Annuar.

Bekas pengerusi Mara itu berkata Umno tidak tahu tentang skandal yang membelenggu 1MDB.

“Setakat yang kami kisah sekarang, apa berlaku dengan 1MDB tidak ada kaitan dengan parti. Parti bukan sebahagian daripada keputusan itu, parti tidak diberitahu dan dimaklumkan,” katanya.

Beliau berkata Umno kini mempunyai kepimpinan baharu dan tidak menunggu Najib dibebaskan daripada pertuduhan.

“Najib sudah melepaskan semua jawatannya dan kini parti di bawah pentadbiran baharu. Kami akan buat dengan cara baharu. Kami tidak akan tunggu Najib selesaikan kesnya di mahkamah,” katanya.

Berikut ialah sedutan daripada temu bualnya dengan The Malaysian Insight:

S: Kenapa Umno mempertahankan Najib sebelum ini berkenaan 1MDB?

J: Saya fikir ia sangat ringkas. Najib dulu ialah perdana menteri dan presiden parti. Bila ada kontroversi, kami ada etika asas tertentu, amalan dan juga tradisi.

Ada prinsip tanggungjawab kolektif dan kecenderungan untuk meragui kepimpinan tertinggi berkenaan perkara tertentu.

S: Adakah Najib beri penjelasan tentang isu 1MDB kepada Umno?

J: Kami diberikan penjelasan tetapi kami tidak boleh mengadilinya atas apa yang ditunjukkan kepada kami. Najib beritahu di mesyuarat peringkat tertinggi bahawa RM2.6 bilion itu tidak datang daripada 1MDB. Kami perlu menerimanya, kecuali jika saya ada bukti yang wang itu daripada 1MDB.

S: Kenapa Umno terus bersama Najib ketika beliau masih PM, dan tidak membantahnya?

J: Kami perlu bersama-sama. Rakyat kata mahu menyingkirkan kerajaan lama. Kami tidak boleh menyertai pembangkang untuk menyingkirkan tempat yang kami tinggal bersama..

S: Bagaimana pendirian parti sekarang berkenaan kes mahkamah Najib?

J: Kami sudah berikan segala keraguan kepada Najib. Sekarang kami bukan lagi dalam kerajaan dan mereka yang membuat tuduhan, saya fikir kami mahu mereka buktikan semua itu. – 9 Ogos, 2018.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kalau ketua buat salah pun sokong, apa guna otak yang ada? Janganlah tunggu sampai habis cerita, baru cakap yang benar. Itu kelakuan yang lapuk.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Will Be Humble · Ulasan

  • BAGUS PANDAI CERDIK

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh CHEE Meng Ng · Ulasan

    • Dapat markah 101/100....

      Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jacob Chang Sadang · Ulasan

  • Dedak dah habis lah tu

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Norani Ismail · Ulasan