Johari bersuara lagi...Najib akan jadi 'beban' kepada Umno


Johari Abdul Ghani mengulangi kenyataannya sebelum ini yang bekas perdana menteri Najib Razal tidak sepatutnya berkempen semasa PRK Sungai Kandis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2018.

NAJIB Razak akan menjadi “beban” bagi Umno, kata bekas menteri kewangan kedua Johari Abdul Ghani yang menerima kritikan ahli parti berhubung kenyataannya terhadap bekas perdana menteri itu.

Ketua Bahagian Titiwangsa mengulangi kenyataannya semalam yang Najib tidak sepatutnya berkempen semasa pilihan raya kecil Sungai Kandis.

“Apa yang saya bangkitkan ialah kemungkinan kehadiran Najib dalam siri kempen yang membawa bersama beliau bebanan persepsi negatif merupakan suatu strategi yang tidak bijak kepada Umno,” katanya dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada pengkritiknya di media sosial.

Johari berkata pada Rabu, ia merupakan tindakan kurang bijak dengan membenarkan Najib dalam siri kempen, memandangkan tuduhan terhadapnya dan skandal yang melibatkan beliau.

Bekas ahli Parlimen Titiwangsa itu menambah walaupun beliau percaya Najib “tidak bersalah sehingga terbukti bersalah”, beliau berkata bekas presiden Umno itu sedang dinilai oleh rakyat atas tuduhan rasuah.

“Umum semua tahu yang sekarang ini berhadapan dengan persepsi rasuah dan ini mungkin salah satu faktor menyebabkan undi untuk Barisan Nasional (BN) merosot di PRK Sungai Kandis,” kata Johari.

Bagaimanapun, beliau berkata Umno tidak boleh mengikut pemimpin mereka secara membuta tuli dan perlu bersuara hal yang betul dan salah.

“Kesetiaan membuta-tuli tidak boleh memberi kemenangan kepada Umno. Begitu juga dalam politik ini kalau nak menyokong pemimpin sokonglah tetapi janganlah sokong membawa rebah.

“Bebanan pesepsi negatif terhadap Umno inilah yang membawa kepada tsunami pada PRU14 yang lalu dimana ramai menteri-menteri yang tumbang termasuk diri saya sendiri,” kata Johari.

Beliau mempertikaikan langkah Umno membiarkan Najib berkempen untuk calonnya dalam PRK Sungai Kandis baru-baru ini, yang kalah kepada PKR dengan hampir 6,000 undi.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin Umno mengkritik peranan Najib dalam kempen PRK itu, memandangkan banyak pertuduhan yang sedang dihadapinya.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata Najib yang sedang dibicarakan, bukannya Umno dan parti itu perlu bergerak.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa memberitahu The Malaysian Insight parti itu melihat Najib sebagai “beban” dan perlu berusaha mendapatkan sokongan yang hilang.
Najib berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta daripada SRC International Bhd yang didepositkan ke dalam akaunnya.

Pada 4 Julai, beliau didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu kes yang menyalahgunakan kedudukannya.

Kesemua tujuh pertuduhan itu dikaitkan dengan SRC International, bekas anak syarikat pelabur negara dilanda masalah 1Malaysia Development Bhd. – 10 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen