WAKIL rakyat Barisan Nasional (BN) Bung Moktar Raden diberi peringatan oleh Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof hari ini susulan menggunakan perkataan kesat dan mencarut pada Selasa.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu diberikan amaran terakhir dan akan dikenakan hukuman keras jika mengulangi kesalahan itu, kata Ariff pada penghujung sesi soal jawab hari ini.
“Saya juga beri amaran ini kepada kedua-dua pihak,” katanya, menambah hukuman akan termasuk penggantungan bagi tempoh tertentu.
Bung, yang hadir pada sesi pagi tadi, tidak datang ketika Ariff bercakap tentang amaran itu. Bung keluar dewan sebelum speaker memasukinya tengah hari tadi.
Dewan Rakyat kecoh pada Selasa lalu selepas Bung mencarut ke arah Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) selepas diganggu ketika berucap membahasakan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018.
“Apa ini, ini kurang ajar, tarik balik. Awak tak perlu berada di sini, samseng, apa yang awak mahu, awak mahu cari gaduh dengan saya.
“F*** you. Awak cari pasal dengan salah orang,” jerit Bung yang marah kepada Mongin dalam dewan.
Beliau kemudian menarik balik kenyataannya itu.
Dalam ucapannya hari ini, Ariff memberi amaran kepada wakil rakyat lain supaya tidak melanggar Perintah Tetap 36(4), yang melarang wakil rakyat menggunakan bahasa kesat.
“Saya melihat perkara ini dengan serius kerana ia menjejaskan prestij dan nama baik dewan ini. Perkataan seperti itu boleh mencemarkan dewan ini.
“Saya mahu mengingatkan semua ahli yang berhormat di sini supaya penggunaan bahasa kesan dan biadab tidak dibenarkan. Tindakan keras akan diambil kepada sesiapa yang melanggar perintah ini,” katanya.
Di bawah Perintah Tetap 44, speaker dibenarkan dengan serta-merta mengarahkan wakil rakyat keluar dewan dan menggantungnya. – 9 Ogos, 2018.
Komen