Bung Mokhtar mencarut dalam Parlimen


Melati A. Jalil

Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata “F…Y…” kepada Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) selepas diganggu ketika berucap membahasakan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2018.

SIDANG Parlimen hari ini riuh rendah apabila seorang wakil rakyat Barisan Nasional mencarut pada hujung sesi pagi.

Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata “F…Y…” kepada Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) selepas diganggu ketika berucap membahasakan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018.

Bung sebelum itu berkata yang harga barangan lebih rendah ketika pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berdasarkan lawatannya ke Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur.

Mongin kemudiannya mencelah, secara sinis menjerit “bukan kasinokah” yang berkaitan dengan gambar tular ahli Parlimen Kinabatangan itu di sebuah meja kasino negara jiran.

“Apa ini, ini kurang ajar, tarik balik. Awak tak perlu berada di sini, samseng, apa yang awak mahu, awak mahu cari gaduh dengan saya.

 “F…you. Awak cari pasal dengan salah orang,” jerit Bung yang marah kepada Mongin dalam dewan.

Susulan itu, beberapa orang wakil rakyat PH mendesaknya menarik balik kenyataan tersebut dan bermulanya sesi jerit menjerit sesama ahli Parlimen dalam dewan.

Memandangkan ia berlaku pada hujung sidang, Timbalan Speaker Mohd Rashid menangguhkan persidangan.

Tetapi wakil rakyat PH mendesak keputusan perbahasan usul dibuat selepas rehat makan tengahari.

Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) berkata Bung Mokhtar sepatutnya diusir keluar dewan, Wong Kah Woh (PH- Ipoh Timur) pula berkata tindakan perlu diambil kepada Bung Mokhtar kerana mencarut dalam dewan mulia.

Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon memberi amaran kepada Bung Mokhtar, berkata beliau perlu mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ronald Kiandee (BN- Beluran) pula mendesak perkara itu diselesaikan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36 (9) Dewan Rakyat kepada ahli Parlimen yang menyatakan tiada rujukan boleh dibuat dalam mana-mana perbahasan mengenai kelakuan atau karakter mana-mana ahli Parlimen atau penjawat awam, selain tindakannya dalam kapasiti seorang ahli Parlimen atau penjawat awam, jika ia berkaitan.

Bung bagaimanapun bertegas tidak akan menarik balik kenyataan itu, malah mendakwa Mongin membayar pelacur.

“Dia mula dulu, dia tiada adab,” kata Bung Mokhtar. – 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen