Equanimity dibeli dengan dana 1MDB? Najib kata tak tahu


Yasmin Ramlan

Najib Razak mendakwa tidak mengetahui pembelian kapal layar mewah Equanimity yang berlabuh di Pelabuhan Klang hari ini menggunakan duit 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Ogos, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak berkata beliau tidak tahu apabila ditanya mengenai dakwaan kapal mewah The Equanimity dibeli melalui dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan pemilik sebenar kapal layar mewah tersebut juga perlu ditentukan.

“Kami tidak tahu, ia tertakluk kepada siasatan,” katanya ketika diasak pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Katanya lagi isu yang lebih besar adalah penyelesaian hutang ditanggung 1MDB kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC).

“Tetapi apa yang penting adalah penyelesaian hutang dengan IPIC. Itu adalah jumlah paling besar.

“Kita perlu ketahui siapa sebenarnya yang memiliki kapal layar itu,” katanya lagi kepada pemberita.

Katanya, penyelesaian hutang dengan IPIC Abu Dhabi itu lebih berbaloi berbanding tindakan menjual kapal layar The Equanimity.

“Dan ia lebih berbaloi dari (jual) Equanimity. Tetapi (isu) Equanimity digunakan untuk langkah populis,” kata Najib lagi.

Tambahnya, beliau juga tidak tahu-menahu mengenai kehadiran kapal tersebut yang berlabuh di Pelabuhan Klang tengah hari ini.

“Saya tak tahu mengenainya… Saya tak pernah naik pun. Saya tak rahu sampailah keluar berita mengenainya.

The Equanimity yang dibawa oleh pasukan polis Indonesia dengan diiringi polis marin Malaysia itu melabuhkan sauh pada kira-kiran jam 12.40 tengah hari ini di Pelabuhan Klang.

Peguam Negara Tommy Thomas memberi jaminan bahawa rampasan kapal layar berkenaan dibuat mengikut undang-undang.

Kerajaan bercadang untuk menjual The Equanimity pada nilai paling tinggi untuk meraih semula wang yang didakwa dicuri.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam berkata langkah itu lebih baik daripada membiarkan kapal mewah bernilai sehingga RM1 bilion itu mereput di pelabuhan. – 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen