PEGUAM Negara Tommy Thomas menjelaskan, rampasan kapal layar mewah The Equanimity dibuat mengikut undang-undang atas kerjasama dengan kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat.
Beliau menjelaskan, mahkamah mengeluarkan waran penahanan ke atas kapal layar tersebut selepas Pejabat Peguam Negara membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
“Oleh sebab itu, Equanimity dirampas dengan betul mengikut undang-undang Malaysia,” kata Thomas dalam kenyataannya.
Jelasnya, rampasan itu adalah hasil perjanjian bantuan perundangan bersama dengan dua negara tersebut, dan juga usaha Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
“Rampasan itu dibuat atas inisiatif DoJ, yang menuntut hak milik ke atas kapal layar itu bagi pihak Malaysia dan 1MDB kerana wang kepunyaan kita digunakan untuk membelinya,” katanya.
Thomas turut merakam perhargaan kepada kedua-dua negara tersebut, terutama kepada Polis Republik Indonesia atas kerjasama berkenaan.
Kapal mewah bernilai RM1 bilion itu selamat berlabuh di Pelabuhan Kelang pada tengahari ini.
Ia dibawa dari Indonesia oleh polis berkenaan dengan diiringi pasukan keselamatan Malaysia. – 7 Ogos, 2018.
Komen