Lebih baik jual Equanimity daripada biar mereput, kata menteri


Yasmin Ramlan Melati A. Jalil

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata peguam negara akan memastikan segala dokumen berkaitan lengkap untuk membolehkan Malaysia menjual kapal layar mewah The Equanimity. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2018.

KEMENTERIAN Kewangan bercadang untuk menjual The Equanimity pada nilai paling tinggi untuk meraih semula wang yang didakwa dicuri membeli kapal layar mewah tersebut.

Menterinya Lim Guan Eng berkata langkah itu lebih baik daripada membiarkan kapal mewah bernilai sehingga RM1 bilion itu mereput di pelabuhan.

“Jika dibiarkan di situ setiap hari, kita perlu bayar kos selenggara dan melihatnya menjadi buruk dan turun harga.

“Sebagai menteri kewangan saya mahu mendapatkan nilai paling baik,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Tambahnya Peguam Negara Tommy Thomas memastikan segala dokumen berkaitan lengkap untuk membolehkan Malaysia menjual kapal mewah terbabit.

“Akhirnya, kita hanya mahukan semula sebanyak wang yang boleh daripada semua aset ini yang dicuri daripada Malaysia. Kita harap dapat nilai yang tertinggi,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Tambahnya, kerajaan juga bercadang untuk mempamerkan kapal layar yang menjadi buah mulut di seluruh dunia itu kepada orang awam.

“Kita berharap orang ramai juga boleh melihatnya sesetengah bahagian kapal tersebut (tetapi) bukan keseluruhannya kerana terdapat banyak barangan berharga di dalamnya. Perlu ada kawalan.

“Selepas ia dilihat, kapal perlu dijual supaya orang ramai di negara ini boleh dapat manfaat daripadanya,” katanya lagi.

Lim juga percaya Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) turut memainkan peranan dalam pengembalian semula Equanimity.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada terdapat percanggahan dengan DoJ yang turut berhasrat untuk menyita The Equanimity.

“Semua ini hanya akan berjaya dilakukan kerana perbincangan dan perundingan dengan DoJ. Peguam negara akan kekuarkan kenyataan esok. Saya pasti ia bersama dengan kerjasama tersebut,” katanya.

Menurut laporan dan siasatan awal DoJ, kapal berkenaan dibeli dengan wang yang dicuri dari syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kapal berkenaan yang disita pihak berkuasa Indonesia dijangka akan tiba di perairan Malaysia esok.

Terdahulu hari ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia Joko Widodo kerana bekerjasama mengembalikan kapal itu kepada kerajaan Malaysia. – 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen