Syarikat bertelagah dengan Orang Asli dapat sokongan pemimpin setempat


Sheridan Mahavera

Syarikat perladangan yang terlibat dalam konflik dengan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan mendakwa mereka mendapat sokongan lima orang tok batin untuk beroperasi di situ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2018.

SEKATAN yang dibuat oleh Orang Asli di Gua Musang, Kelantan dimusnahkan oleh pekerja kontrak kerana ia menjejaskan pendapatan mereka daripada dusun yang diizinkan oleh suku kaum setempat, kata seorang pegawai kepada The Malaysian Insight.

Jurucakap bagi dua buah syarikat dusun itu berkata operasi mereka sah. Mereka mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri Kelantan serta sokongan pemimpin Orang Asli di kampung-kampung berdekatan.

Jurucakap itu, Hanif Abdul Kudus mendakwa syarikat itu mempunyai surat sokongan yang ditandatangani oleh lima tok batin Orang Asli dan penghulu suku Temiar, yang merupakan ketua kampung masing-masing yang mengelilingi dusun berkenaan.

Sebagai balasannya, syarikat itu memberi keutamaan kepada penduduk setempat untuk bekerja di dusun tersebut, kata Hanif.

Hanif bercakap bagi pihak KPG Maju Enterprise Sdn Bhd yang memiliki 5,000 ekar tanah pertanian dekat hutan Kuala Balah di Gua Musang. Syarikat itu mengendalikan ladang getah dan nanas.

Sebuah syarikat baru, M7 Plantations Berhad sedang membuka dusun durian jenis Musang King di kawasan yang sama.

Hanif mendakwa sokongan daripada ketua-ketua kampung membolehkan dusun itu beroperasi tanpa gangguan sehingga Februari tahun ini apabila aktivis Temiar membuat sekatan jalan.

Katanya, syarikat itu membuka dusun tersebut atas permintaan Awin Pedih, tok batin Pos Tohoi, sebuah kampung yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari dusun berkenaan.

“Buat apa saya nak mula buat ladang yang jauh macam tu, jauh dari jalan besar?

“Saya buat pasal saya kenal dengan Awin sejak saya dalam koperasi di Gua Musang. Dia yang minta saya bangunkan kawasan dekat kampung dia supaya orang-orang dia boleh dapat pendapatan.

“Kita tolong bina menara Celcom, jalan ke kampung dan ladang,” kata Hanif kepada The Malaysian Insight.

Kawasan seluas 400 ekar telah ditebang untuk dijadikan dusun durian di Gua Musang, meningkatkan kemarahan Orang Asli terhadap apa yang mereka dakwa menjejaskan kehidupan dan kelangsungan hidup mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2018.

Sokongan masyarakat

KPG Maju Enterprises Sdn Bhd dan Fleet Precision Sdn Bhd ialah dua syarikat yang didakwa oleh aktivis Temiar membuka ladang atas tanah yang dikatakan sebagai tanah adat sejak turun temurun.

Hanif berkata beliau juga jurucakap dan jururunding kepada Fleet Precision.

Pada Februari, sekumpulan aktivis Temiar membuat sekatan di jalan utama masuk ke ladang syarikat itu serta enam buah kampung.

Sekatan itu menjejaskan kegiatan ladang sehingga membawa kepada ketegangan antara aktivis dan sekumpulan lelaki yang bekerja dengan ladang itu.

Pada 4 Ogos, sekumpulan lelaki dengan gergaji rantai meruntuhkan sekatan itu, dua hari selepas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah melawatnya.

Sivarasa ketika itu berjanji akan mencari penyelesaian kepada ketegangan antara kedua-dua pihak.

Ladang itu terletak di atas tanaah yang sudah digondolkan pada 1980-an. Tanah itu dikelaskan sebagai tanah pertanian oleh kerajaan Kelantan, katanya.

Pada 2010, Fleet Precision berjaya mendapatkan lima tok batin Temiar dari lima buah kampung untuk menandatangani sepucuk surat mengatakan mereka menyokong “operasi syarikat di Pos Simpor dan Pos Tohoi.”

Surat itu, yang dilihat oleh The Malaysian Insight, ditandatangani oleh Seman Senaweng, Gorbon Garyon, Abong Lehya, Rahmat Abdullah dan Anjang Akad.

Surat itu bagaimanapun tidak menyebut dengan jelas operasi yang akan dijalankan oleh syarikat berkenaan.

Sepucuk surat lagi dikeluarkan oleh pemangku pengarah hal ehwal Orang Asli Kelantan dan Terengganu, Abdul Razak Arshad untuk mengesahkan surat sokongan yang pertama.

Dalam sepucuk lagi surat bertarikh 13 Mac 2013, tiga tok batin – Seman Seraweng dari Kampung Jader, Abu Along (Kampung Rekom) dan Jumat Abak (kampungnya tidak dinamakan) – menyatakan sokongan mereka untuk beberapa buah projek.

Menurut Hanif projek ini termasuk membina sebuah menara komunikasi, sistem bekalan air, melebar jalan sedia ada dan sebuah kedai runcit untuk kampung-kampung berkenaan.

Projek infrastruktur itu adalah tambahan kepada sebuah ladang klon getah. Syarikat itu juga berjanji akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Kita ambil Orang Asli bekerja di ladang-ladang kita. Kita menyumbang kepada ekonomi sekitar tempat itu. Itu saya tak faham kenapa dia sekat kita.” – 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen