MASYARAKAT Orang Asli di Gua Musang, Kelantan ingin menyampaikan pesanan ini kepada kerajaan negeri: “Musnahkan sekatan kami dan kami akan bina lagi yang lain.”
Mereka mendedahkan pernah berdepan lelaki bersenjata dan diancam dirempuh dengan kenderaan berat. Justeru, ancaman oleh kerajaan negeri tidak begitu mengganggu mereka.
Sekatan Orang Asli itu bertujuan menghalang syarikat perladangan daripada mengusahakan tanah seluas 400 hektar untuk menanam pokok durian.
Orang Asli mendakwa ia menjejaskan kehidupan mereka kerana tindakan itu telah mencerobohi tanah asal mereka.
Aktivis Orang Asli, Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah berkata ancaman daripada kerajaan negeri tidak menakutkan mereka.
Dendi berkata komuniti itu akan terus meletakkan sekatan sehingga kerajaan yang ditadbir oleh PAS mengiktiraf tuntutan mereka terhadap tanah komunal yang menjadi sumber makanan dan air sejak bergenerasi lalu.
“Mereka boleh datang dan mengambil tindakan dan menangkap kami jika mahu. Mereka boleh merobohkan sekatang ini tetapi kami tidak akan berhenti sehingga hak tanah kami dikembalikan,” kata Dendi.
Beliau dan kira-kira 50 Orang Asli sedang membuat sekatan Kaleeg berhampiran Kuala Betis, Gua Musang langsung tidak membimbangkan mereka berkenaan kemungkinan ditahan lagi sebagaimana kejadian sebelum ini.
Dua tahun lalu pihak polis dan Jabatan Perhutanan bertindak menahan 41 aktivis, termasuk Dendi ketika membina sekatan terhadap pembalak dan syarikat perladangan di kawasan Gua Musang.
Mereka kemudian dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan.
Sekatan Khaleeg, bersama sekurang-kurangnya dua yang lain, sudah dibina sejak Februari tahun ini.
Pada 29 Julai, konfrontasi antara sekumpulan individu yang dikaitkan dengan syarikat perladangan durian dan Orang Asli menyebabkan mereka menghalang satu-satunya jalan masuk dari kawasan projek itu dan penduduk enam kampung dengan dunia luar.
Menghalang jalan raya dengan sebuah trak pikap dan lori, mereka menghalang guru yang hendak ke sekolah di kampung Pos Tohoi. Sebuah van, yang sepatutnya mengambil penduduk sakit, juga dihalang daripada masuk ke kampung.

Kumpulan individu itu sudah meninggalkan kawasan itu bersama kenderaan mereka tetapi kerajaan Kelantan mengambil pendirian tegas.
Ahli Parlimen Kota Baru Takiyuddin Hassan berkata pihak berkuasa negeri akan bertindak terhadap sebarang sekatan, sama ada oleh Orang Asli atau syarikat perladangan.
Lelaki bersenjata api dan pisau
Dendi dan rakan-rakannya menepis ancaman itu. Mereka mendakwa pernah berdepan konfrontasi lebih berbahaya dengan sekumpulan lelaki yang dikaitkan dengan syarikat perladangan.
Pada 9 Jun, sekumpulan individu mengenakan sekatan dengan trak pikap.
Pada masa itu, sekatan hanya daripada tiang kayu merintangi jalan masuk ke ladang.
“Dua daripada lelaki itu membawa pistol dan mengacu-acukannya kepada kami. Kami melihat pisau di pinggang lelaki lain. Mereka mahu kami mengangkat tiang kayu. Kami enggan.”
Oleh kerana Orang Asli tidak mahu memburukkan keadaan, mereka berundur dan kumpulan lelaki itu berjaya mengalihkan sekatan untuk lalu.
“Tetapi kami masih cuba menghentikannya. Kira-kira 20 orang daripada kami cuba menghalang pikap daripada lalu tanpa sebarang senjata tetapi mereka terus memandu dan memaksa kami berundur.”
Bagaimanapun, pikap itu memaksa aktivis berundur kira-kira 20 meter di atas jalan. Dendi pula berada di tengah sambil cuba menahan pikap itu.
Tetapi apabila merasakan dalam keadaan berbahaya, kawan-kawannya bertindak menariknya dengan cepat dan mengakhiri konfrontasi itu.
“Pikap itu bergerak laju dan melanggar kaki dua aktivis lain. Salah seorang daripada mereka ialah Abine Anjang, 90 tahun.
“Saya bernasib baik. Ia menyebabkan sedikit di kaki. Kami ke hospital dan doktor mengesahkan tiada apa-apa yang patah.”
Abine terus membina sekatan dengan aktivis yang lebih muda walaupun menyedari risikonya.
“Saya perlu buat ini untuk cucu-cucu saya. Jika saya tidak dapat mewariskan mereka tanah ini, bagaimanakah mereka akan hidup? Kami bukan cuba melawan kerajaan tetapi hanya mahu mempertahankan tanah kami”. – 2 Ogos, 2018.
Komen