PKR mesti jadi parti berdisiplin, kata MB Selangor


Nabihah Hamid Zaim Ibrahim Salhan K. Ahmad

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata PKR kurang idealisme perjuangan serta disiplin beroganisasi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Ogos, 2018.

PKR mesti meningkatkan disiplinnya sebagai sebuah parti politik, selain mengukuhkan idealisme perjuangan yang menggerakkannya sejak 20 tahun lalu, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

“Apa yang kurang dalam Keadilan (PKR) saya lihat, idealisme perjuangan. Yang agak kurang dalam parti Keadilan, disiplin. Disiplin berorganisasi.

“Bukanlah saya mahir sangat, tetapi dengan saya buat perbandingan antara Keadilan, PAS, dan Umno, hatta dengan DAP, isu disiplin ahli dan pimpinan itu nampak sedikit tidak kemas,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Amirudin diminta mengulas tindakan ahli sayap Pemuda PKR di Selangor yang menuduh wujud amalan kronisme dan nepotisme dalam pemilihan ahli majlis kerajaan tempatan di negeri itu.

Pada 27 Julai lepas, Setiausaha Pemuda PKR Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman letak jawatan selepas menuduh parti itu kini terpalit amalan kuku besi dan sudah rosak nilai demokrasinya. Tindakannya itu disusuli pemangku ketua Pemuda PKR Sabak Bernam, Abdul Mutalib Ahmad yang juga letak jawatan.

Dua pemimpin peringkat akar umbi di Selangor membenarkan tuduhan Syed Badli Shah itu dan mendakwa ia berlaku di Sepang. Mereka turut menuduh “seorang pegawai dalam kerajaan Selangor” yang didakwa mempengaruhi proses pemilihan ahli majlis kerajaan tempatan itu.

Dalam reaksi awalnya ketika itu, Amirudin berkata semua pemilihan dibuat dengan adil dan demokratik, sementara calon dipilih berdasarkan kebolehan, pengalaman dan kemampuan menyelesaikan masalah.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata calon dipilih berdasarkan kebolehan, pengalaman dan kemampuan menyelesaikan masalah.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Ogos, 2018.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Amirudin menjelaskan ahli parti bukannya tidak boleh mengkritik parti tetapi kritikan itu mesti ada hadnya, dan had itulah yang beliau maksudkan sebagai disiplin dalam parti.

“Nak noise (bising) boleh noise tapi ada masanya, sampai tahap mana? Sampai tahap keluar statement hari-hari, keluar fitnah? Sampai tahap pecahkan kepala orang? Contohnyalah.

“Ataupun sampai tahap apa. (Kena) ada hadnya… sebab itu disiplin berorganisasi ini perlu. Dan (PKR) memerlukan seseorang iaitu jeneral yang boleh meletakkan asas-asas ini balik,” katanya lagi.

Tindakan pemimpin Pemuda PKR Selangor itu turut diselar oleh Naib Presiden PKR Tian Chua yang menyifatkan Syed Badli sebagai pemimpin kecil dan tindakannya menunjukkan beliau tiada disiplin parti.

Chua mendakwa Syed Badli letak jawatan kerana marah tidak dilantik sebagai ahli majlis kerajaan tempatan. Tuduhan itu bagaimanapun kemudian dinafikan oleh bekas Syed Badli.– 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen