MB Selangor jawab tuduhan bekas setiausaha AMK negeri


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menegaskan bahawa pembahagian jawatan lantikan politik di negeri ini dibuat melalui sistem yang adil dan demokratik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2018.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari menegaskan bahawa pembahagian jawatan lantikan politik di negeri ini dibuat melalui sistem yang adil dan demokratik.

Beliau berkata pelantikan itu dibuat oleh satu jawatankuasa yang mengambil kira pandangan dan cadangan daripada semua pihak.

“Saya ingin menyatakan bahawa pelantikan itu dibuat melalui sistem yang bersih.

“Oleh itu, calon yang dipilih adalah berdasarkan mereka yang mempunyai kebolehan dan pengalaman serta dilihat boleh menjadi penyelesai masalah,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Amirudin mengeluarkan kenyataan itu susulan tindakan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman yang mengumumkan perletakan jawatannya berkuatkuasa hari ini.

Syed Badli Shah dalam kenyataannya pagi ini dilaporkan mendakwa, bahawa perletakan jawatan itu dibuat berikutan terdapat segelintir pemimpin PKR yang dilihat mengamalkan budaya kronisme dan nepotisme.

Dakwa Syed Badli Shah lagi, sikap mementingkan kroni juga semakin parah dalam usaha pembahagian jawatan politik apabila hanya pengikut kabilah tertentu yang akan diberi habuan dari segi jawatan.

Menurut Amirudin, yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, parti itu bersifat demokratik dan setiap ahlinya bebas mengeluarkan kenyataan peribadi masing-masing.

“Terpulang kepada beliau untuk memberi kenyataan peribadi dan meletak jawatan, itu adalah hak masing-masing,” katanya.– Bernama, 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen