Kecewa dengan 'kuku besi', pemimpin PKR Selangor letak jawatan


Syed Badli Shah Syed Osman mengumumkan letak jawatan kerana mendakwa demokrasi dalam parti kini rosak akibat nepotisme dan kronisme. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2018.

SETIAUSAHA PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman mengumumkan peletakan jawatan parti kerana mendakwa demokrasi dalam parti kini rosak akibat nepotisme dan kronisme.

Beliau juga mendakwa terdapat segelintir individu tertentu yang mengekalkan pengaruh dan kuasa melalui lantikan jawatan tertentu.

Katanya, para pemimpin parti juga mengamalkan sikap diktator dan menyekat perbezaan pendapat.

“Sikap kuku besi terserlah dengan tidak meraikan perbezaan pendapat dan dianggap menderhakai kepimpinan negeri.

“Budaya tegur-menegur tidak lagi subur dalam PKR Selangor akibat sikap angkuh dan sombong segelintir kepimpinan negeri.

“Mereka lebih gemar kepada ahli yang hanya tunduk dan patuh tanpa mengeluarkan sebarang pendapat yang bercanggah.

Amalan nepotisme dan kronisme juga merosakkan lagi parti itu, katanya.

“Saya menyelar sikap segelintir pemimpin PKR Selangor yang menjadikan habuan jawatan lantikan politik sebagai usaha untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.

“Secara jelas jawatan lantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan taat setia kepada kabilah tertentu dan tidak lagi menerusi merit,” katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika parti tersebut berdepan dengan dua pilihan raya kecil pertama di Selangor – di DUN Sungai Kandis dan Balakong yang bakal menguji pengaruh parti pada masa ini.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Syed Badli seterusnya melahirkan kekecewaan kerana pemimpin parti didakwanya tidak lagi menghormati hierarki parti dalam pelantikan jawatan.

“Dalam penentuan jawatan ahli majlis misalnya, kelulusan, kebolehan, pengalaman dan sumbangan kepada perjuangan seharusnya menjadi kriteria penting.

“Namun yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya yang kecewa kerana terdapat individu tertentu yang tidak mendapat peluang jawatan walau sekian lama berkhidmat di peringkat akar umbi.

“Sikap mementingkan kroni semakin parah dalam usaha pembahagian jawatan politik apabila hanya pengikut kabilah tertentu yang akan diberikan habuan daripada segi jawatan,” katanya. – 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen