HANYA mereka yang kecewa dalam PKR saja menuduh parti itu sudah jadi macam Umno, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, sehingga mendakwa parti yang memperjuangkan reformasi dan keadilan itu kini terjebak dengan budaya feudal dan politik wang.
Amirudin yang bergiat dengan PKR sejak awal penubuhannya pada 1999 berkata, tuduhan itu bukan perkara baru sebaliknya ditimbulkan setiap kali oleh watak-watak yang kecewa dalam politik.
“Itu dakwaan-dakwaan biasa. Setiap kali orang kecewa, itulah dakwaannya. Dari tahun 1999 saya dengar benda yang sama, jadi (saya) tak hairan.
“(Mereka yang kecewa itu) kalau nak marah pun, kena kreatif sikit. Guna kaedah lain,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara.
Amirudin tidak menamakan siapa yang dikatakannya sebagai “orang kecewa” itu.
Ahad lalu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli semasa mengumumkan barisan pasukannya dalam pemilihan parti memberi alasan bertanding jawatan timbalan presiden antara lain untuk menyelamatkan PKR daripada terbabas daripada semangat reformasi.
“Jangan ada mana-mana pemimpin bawa budaya kotor dalam parti. Kita akan lawan mereka habis-habisan,” katanya, menyebut budaya feudal dan budaya imbuhan wang dan jawatan.
Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali hanya akan mengumumkan kedudukannya dalam pemilihan itu selepas pilihan raya kecil Sungai Kandis hari ini, namun dijangka akan mempertahankan jawatannya.
PKR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi jawatan majlis pimpinan pusat, yang pemilihannya akan berlangsung secara berperingkat mengikut negeri-negeri antara 14 September hingga 7 Oktober.
Mengulas langkah Rafizi bertanding jawatan timbalan presiden, Amirudin berkata PKR sebuah parti yang meraikan pertandingan, dan sejarah membuktikan parti itu selalu muncul lebih kuat setiap kali selepas ada pertandingan jawatan tinggi dalam parti.
“Ramai orang (kata) bila Azmin dan Zaid Ibrahim bertembung, habislah parti ini. Kemudian lagi bertembung dengan Khalid Ibrahim, habislah parti ini. Tapi akhirnya pada waktu ini, Keadilan mempunyai kerusi paling banyak, di dalam Parlimen dalam PH, ” kata bekas Exco Sukan Selangor itu lagi.
Azmin dicabar oleh Zaid, yang kini menyertai DAP, dalam pemilihan PKR pada 2010. Azmin menang, sementara Zaid meninggalkan PKR yang baru disertainya lebih sedikit setahun. Pada pemilihan parti 2014, Azmin mengalahkan Saifuddin Nasution, yang kini setiausaha agung PKR.
Reformasi bukan slogan
Mengenai dakwaan semangat reformasi sudah hilang dalam sesetengah pemimpin dan ahli PKR, Amirudin berkata semangat reformasi bukannya kendur kalau laungan slogan itu tidak lagi lantang.
Semangat reformasi sebaliknya mesti diukur pada apa yang sudah dicapai dan sedang dilakukan dalam perjuangan, katanya.
“Reformasi pada waktu ini bukan lagi pada laungan atau kumpulan. Reformasi harus bertindak dalam aksi, tindakan, dan juga polisi.
“Sebab itu apabila orang cakap reformasi 20 tahun dan sebagainya, kita harus mengunjur dan melihat apakah peningkatan dan pencapaian yang telah berjaya diukur dalam reformasi,” kata adun Sungai Tua itu.
Jelas beliau, fokus PKR sekarang ialah untuk melihat apa yang patut ia lakukan untuk meyakinkan rakyat untuk bersama-sama dalam agenda reformasi setelah Pakatan Harapan mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Dalam pada itu, Amirudin, 38, mahu PKR terus dipimpin oleh pemimpin yang tidak sangsi dengan kemampuan anak muda, selain memastikan parti terus diterima semua lapisan masyarakat.
Itulah antara asas kekuatan PKR sejak penubuhannya iaitu mengetengahkan orang muda, katanya.
“Keadilan (PKR) juga membuktikan politik berasaskan nilai, keadilan dan perjuangan keadilan itu boleh diterima, menolak politik perkauman, agama, yang selama ini menjadi tema penting ataupun saduran penting kepada mana-mana parti politik.
“Jadi bagi saya mereka yang menyertai Keadilan, mereka yang layak kepada perjuangan ini, boleh mengetuai (PKR),” katanya. – 5 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan