AZMAN Mohd Sidek masih ingat bagaimana Ustaz Zawawi Ahmad Mughni, calon Pakatan Harapan (PH) suka menaiki “kapcai” ke gerai burger di Jalan Kebun semasa umur remajanya.
Azman yang berusia 50 tahun itu juga masih mengingati bapa Zawawi, yang merupakan kadi dan imam di Masjid An Naim di seberang jalan.
“Zawawi pasti menang pilihan raya kecil (PRK) ini,” kata lelaki berketurunan Jawa itu apabila ditanya mengenai keputusan PRK Sabtu ini.
“Orang ramai kenal beliau dan ayahnya dan kedua-duanya sama-sama popular di sini.
“Ayahnya menjadi kadi banyak perkahwinan di sini juga,” kata Azman.
Isu tempatan vs nasional
Zawawi akan berdepan pertarungan tiga penjuru untuk memenangi kerusi DUN Sungai Kandis, tetapi pertarungan sengitnya pastinya datang daripada calon Barisan Nasional (BN), Lokman Noor Adam.
Ketika kempen Zawawi lebih banyak membincangkan isu-isu tempatan seperti membina infrastruktur lebih baik dan menghentikan pembuangan haram, Lokman memberi tumpuan kepada masalah kaum dan agama.
Dalam tempoh 12 hari lalu, kedua-dua pihak berkempen di sekitar kawasan Jalan Kebun dan Sungai Kandis yang menempatkan kira-kira 22,000 pengundi Melayu.
Pengundi Sungai Kandis terdiri daripada 72% Melayu, 16% India dan 12% Cina.
Ceramah PH kebanyakannya diadakan di sini, dengan beberapa kali ke kawasan Taman Sri Andalas, yang mempunyai lebih ramai pengundi bukan Melayu.
Semasa pilihan raya umum 9 Mei, calon PH Mat Shuhaimie Shafiei memenangi 19 daripada 20 pusat pengundian mengalahkan Kamaruzzaman Johari daripada BN, calon PAS Mohd Yusof Abdullah dan Hanafiah Husin daripada PRM.
Walaupun suasana tidak semeriah berbanding ketika PRU14, Pakatan dan BN berusaha menarik sokongan dengan membawa beberapa pemimpin besar sebagai penceramah.
Bagi pihak PH, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Amiruddin Shaari dan Menteri Mohamed Azmin Ali, Dr Xavier Jayakumar, Mohamad Sabu dan Baru Bian serta Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim semuanya sudah muncul untuk memancing pengundi Sungai Kandis.
BN juga menurunkan pemimpin besarnya sendiri seperti Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Ketika perhimpunan PH berjaya menarik kehadiran yang berbilang kaum, acara dan kempen sengit BN dilihat hanya merayu kepada penyokongnya sendiri. – 3 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan