Putrajaya bincang dengan Kelantan isu tanah adat Orang Asli


Sheridan Mahavera

Kerajaan Persekutuan akan memulakan perbincangan dengan pentadbiran Kelantan bagi menyelesaikan tuntutan Orang Asli ke atas tanah adat milik mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Ogos, 2018.

KERAJAAN Persekutuan akan memulakan perbincangan dengan pentadbiran Kelantan bagi menyelesaikan tuntutan Orang Asli ke atas tanah adat milik mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah.

Wakil Orang Asli akan turut dijemput untuk bersama-sama menyertai perbincangan itu, katanya, yang akan menumpukan usaha bagi menyelesaikan konflik berpanjangan melibatkan masyarakat itu, kerajaan negeri yang dikuasai PAS dan syarikat swasta.

Sivarasa berkata perbincangan itu antara lain menyentuh mengenai garis sempadan tanah adat yang dituntut Orang Asli.

Selepas garis sempadan itu dipersetujui antara kerajaan negeri dan Persekutuan serta Orang Asli, ia akan diwartakan supaya penguatkuasaan boleh dijalankan.

“Hak mereka ke atas tanah adat mereka diperakui, tiada percanggahan tentang itu. Mahkamah sudah banyak kali membuat keputusan memihak kepada mereka.

“Apa yang tinggal adalah untuk menggariskan sempadan dan mengadakan rundingan berhubung tanah ini. Selepas ia diwartakan kita boleh laksana penguatkuasaan,” kata Sivarasa kepada media selepas melawat dua sekatan pembalakan yang didirikan Orang Asli.

Kurangnya tindakan dalam mewartakan tanah adat masyarakat tersebut adalah sebab di sebalik Orang Asli mendirikan sekatan di Kelantan bagi menghalang syarikat pembalakan dan perladangan.

Sekatan tersebut adalah jalan terakhir bantahan yang dijalankan mereka terhadap aktiviti berkenaan selepas syarikat terbabit dan kerajaan negeri enggan mendengar keluhan mereka.

Sekatan tersebut turut menimbulkan pertelingkahan antara Orang Asli dan pihak pembalak serta peladang.

“Kita harus lakukan secara berperingkat,” kata Sivarasa ketika ditanya tentang bagaimana kerajaan akan menangani pembalak dan peladang yang menceroboh tanah Orang Asli.

“Kita ada proses rundingan berhubung lokasi, saiz dan sempadan tanah adat tersebut. Selepas ia selesai, kita boleh bincang mengenai isu kedua, iaitu pencerobohan.”

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada Kerajaan Persekutuan akan mengarahkan pembalak dan peladang berkenaan menghentikan operasi di atas tanah yang dituntut Orang Asli.

“Ia rumit. Terdapat bidang kuasa di peringkat negeri dan Persekutuan. Kita harus bertindak mengikut struktur yang kita ada.”

Beliau bagaimanapun menyokong usaha Orang Asli mendirikan sekatan tersebut.– 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen