Demi kelangsungan hidup, Orang Asli kepung pembalak


Sheridan Mahavera

MUSTAFA Along pernah ditawarkan RM200,000 untuk berhenti menjadi aktivis Orang Asli dan mengarahkan sukunya untuk menghentikan sekatan (blokade) pembalakan di hutan simpan Gua Musang.

Tetapi Mustafa tidak tergoda dengan tawaran seumpama itu meskipun dihulur RM1 juta sekalipun kerana baginya hutan Ulu Kelantan adalah kehidupan bagi sukunya, tempat di mana mereka mendapatkan barangan keperluan, ubat-ubatan dan sumber air serta tempat untuk melakukan ritual.

Sekatan yang dibina di laluan yang menghubungkan tiga hutan simpan, yang juga menempatkan kawasan tadahan air penting di Kelantan, tmenimbulkan pertikaian antara Jabatan Perhutanan, pembalak dan syarikat perladangan yang disokong kerajaan Kelantan.

Pembersihan kawasan hutan bagi tujuan penanaman kelapa sawit menyebabkan penduduk di sini sukar untuk bercucuk tanam, mencari rezeki dan mendapatkan bekalan air bersih.

Oleh sebab ritual animistik mereka memerlukan pokok nadir dan hidupan liar dari hutan, maka kemusnahan ekosistem tersebut secara tidak langsung mencabuli hak kebebasan untuk menganut agama seperti yang dijamin Perlembagaan, kata Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan itu.

Orang Asli dari Suku Temiar akan terus mendirikan blokade bagi menghalang syarikat pembalakan daripada memasuki kawasan hutan simpan sehingga kerajaan mengarahkan semua aktiviti pembalakan dihentikan di kawasan berkenaan.

Mustafa Along mendakwa dia menerima dua tawaran iaitu RM200,000 dari seorang ahli perniagaan berbangsa Cina dan satu beg berisi wang tunai oleh seorang individu berbangsa Melayu yang merupakan ketua syarikat pembalakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Mac, 2018.

Suku Temiar mendirikan blokade di kawasan itu sejak 2012, yang mana semuanya dimusnahkan oleh pihak berkuasa.

Sekatan yang didirikan sebelum ini menyaksikan ramai dari suku Temiar, seperti Mustafa, ditahan oleh polis dan Jabatan Perhutanan, namun kemudiannya dilepaskan tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Mustafa, yang juga menyelia sekatan berkenaan, mendakwa ditawarkan sogokan oleh individu yang dipercayai orang tengah syarikat pembalakan, yang mempunyai permit untuk membalak di hutan simpan Perias, Balah dan Gunung Stong.

Beliau mendakwa menerima dua tawaran iaitu RM200,000 dari seorang ahli perniagaan berbangsa Cina dan satu beg berisi wang tunai oleh seorang individu berbangsa Melayu yang merupakan ketua syarikat pembalakan.

“Saya tidak boleh jual hutan ini kerana ia untuk anak dan cucu saya. Jika saya ambil RM200,000, ia akan cepat habis. Tetapi suku saya akan sengsara di masa depan.”

‘Cuci mangkuk’

Tawaran ini dibuat ketika Mustafa dan sukunya mendirikan sekatan pada 2014 di Kuala Betis, setengah jam perjalan dari Gua Musang.

Kuala Betis ialah laluan utama yang menghubungkan tiga hutan simpan, serta terletak di bahagian timur Kelantan.

Mereka mula mendirikan blokade pada 2012, selepas protes, surat, dan memorandum mereka tidak dilayan kerajaan negeri sejak sedekad yang lepas, kata Mustafa.

“Kami tidak akan sekali-kali jadi miskin dan lapar kalau hutan dalam keadaannya sekarang,” kata Asod Busu, 52 dari Kampun Parik, perkampungan suku Temiar di Kuala Betis.

“Tetapi, untuk bercucuk tanam, mencari ubat dan untuk terus menetap di hutan ini semakin hari semakin terjejas,” kata Asod, mengenai kesan aktiviti pembalakan terhadap masyarakat mereka, yang dianggarkan berjumlah sekitar 4,000 orang.

“Kami tak dapat cari air bersih sebab semua sungai tercemar.”

Pembalakan di Gua Musang juga dikatakan penyebab kepada berlakunya bah besar di Kelantan pada 2014 yang menenggelamkan ribuan rumah.

“Beberapa penduduk kampung dari Pos Bihai, terpisah dari dunia luar apabila rumah mereka dilanda banjir. Mereka tak dapat beri anak-anak mereka makan kerana ubi kayu rosak.”

Asod mendakwa Jabatan Perhutanan tidak memantau pembalak dan syarikat berkenaan sewenang-wenangnya menebang pokok.

“Undang-undang kata tidak boleh tebang pokok di bawa 40 inci (ukur lilir) dan harus menanam semula pokok baru. Tapi kalau lihat lori yang keluar masuk dari hutan, mereka ada tebang pokok yang hanya enam inci tebal.” 

Hasil lawatan The Malaysian Insight mendapati terdapat beberapa lori dilihat membawa keluar balak pelbagai saiz dari kawasan Kuala Betis.

“Pembalakan ini dipanggil cuci mangkuk,” kata Awer Awi, 31, rakan Asod, menyatakan amalan biasa syarikat pembalakan.

“Mereka tebang semua. Tidak kira kecil atau besar sehingga di pinggir sungai mereka tebang.”

Pada Februari 2016, Jabatan Perhutanan dan polis menahan 41 Orang Asli dari suku Temiar dan memusnahkan blokade yang diperbuat dari buluh dan kayu.

Mereka dibebaskan dua hari kemudian dan tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

“Mereka tidak dapat cari salah kami. Semasa soal jawab, mereka tanya apa yang kami tanam, berapa ramai yang tinggal di kampung kami. Tidak ada soalan tentang blokade pun,” kata Asod.

Hari ini, suku yang sama telah mendirikan tiga sekatan. Di Cawas menuju ke hutan simpan Perias, di Kaleeg yang menghubungkan hutan simpan Balah dan di Kegeeh, menuju ke hutan simpan Gunung Stong Selatan. – 10 Mac, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen