MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari berkata, pindaan ke atas undang-undang untuk menaikkan usia layak berkahwin bagi wanita Islam kepada 18 tahun dijangka akan dibentangkan seawal September.
Katanya, beliau masih menunggu laporan penasihat undang-undang negeri untuk meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (2003).
Beliau percaya ia tidak akan mengambil tempoh masa yang lama kerana ia tidak melibatkan pindaan ke atas keseluruhan enakmen tersebut.
“Kita lihat laporan pada LA (penasihat undang-undang) dahulu. Saya sudah bangkitkan pada mereka bila nak dibentangkan,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temubual.
Tambahnya, pindaan untuk menaikkan had umur dari usia 16 tahun itu juga melibatkan tindakan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Tapi kalau hanya menukar faktor itu sahaja mungkin akan ambil masa yang pendek. Jadi, ia bergantung pada pihak LA dan MAIS.
“Kalau paling cepat September ini iaitu dalam sesi dewan akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temubual.
Pengerusi MAIS Mohammed Khusrin Munawi hari ini dilaporkan berkata, perbincangan untuk membentangkan pindaan itu dibuat pada bulan lalu bersama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Katanya, ia turut melibatkan pakar-pakar daripada pelbagai jabatan atau agensi kerajaan khususnya pakar perubatan, universiti dan badan bukan kerajaan.
Tindakan itu bagi mengatasi kes melibatkan perkahwinan bawah umur seperti kes kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang bernikah dengan seorang lelaki Kelantan berusia 41 tahun Jun lalu.
Seperti juga di Selangor, Kelantan menghendaki pemohon yang ingin bernikah perlulah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.
Sekiranya pemohon berumur kurang daripada umur yang ditetapkan, pemohon perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah.
Menurut statistik kementerian sebanyak 10,000 kes perkahwinan bawah umur melibatkan pasangan beragama Islam direkodkan sejak 10 tahun lalu.
Sejak 2007 hingga 2017 juga, sebanyak 4,999 kes sedemikian direkodkan bagi pasangan bukan beragama Islam.
Kes paling tinggi direkodkan untuk pengantin bawah umur berlaku di Sarawak. – 2 Ogos, 2018
Komen