Jabatan Agama Kelantan sedang siasat kanak-kanak 11 tahun kahwin


Nabihah Hamid

Perkahwinan lelaki 41 tahun dan kanak-kanak 11 tahun yang tular mendapat kecaman seluruh negara. Jabatan Agama Islam Kelantan sedang melakukan siasatan. – Gambar Facebook, 30 Jun, 2018.

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) meminta kes perkahwinan bawah umur kanak-kanak 11 tahun dengan seorang lelaki berumur 40-an dibawa ke Mahkamah Syariah sekiranya benar-benar berlaku. 

Pengarahnya Che Mohd Rahim Jusoh berkata, hanya mahkamah boleh memutuskan sama ada perkahwinan berkenaan sah atau tidak. 

“Keputusan bergantung kepada mahkamah. Kalau ada kes kita minta kes ini dibawa ke mahkamah, mahkamah akan putuskan sah atau tidak,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Tegasnya, selepas mengetahui berita tersebut yang tular di media sosial, pihaknya telah mengarahkan pegawai Jaheaik untuk menyiasat kes tersebut dengan segera. 

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bentuk tindakan yang akan diambil kerana masih belum mendapat laporan penuh. 

“Kita masih menyiasat dan hendak pastikan ceritanya macam mana berlaku dan kena lihat apa peruntukan undang-undang berkaitan dan apakah perkahwinan itu melalui proses biasa atau luar biasa.

“Sekarang ini masih dalam siasatan dan belum menerima laporan penuh lagi. Saya sudah arahkan siasatan dibuat hari ini dengan kadar segera,” katanya lagi. 

Hari ini negara digemparkan dengan berita perkahwinan ketiga seorang lelaki yang dipercayai mengahwini kanak-kanak berumur 11 tahun. Perkara itu terbongkar selepas isteri keduanya menulis catatan mengenai di Facebook dan tular di media sosial.

Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis sedang menyiasat dan mengesan kanak-kanak tersebut yang dikatakan tinggal di Gua Musang.

Semakan The Malaysian Insight mendapati syarat perkahwinan di Kelantan menghendaki pemohon yang ingin bernikah perlulah sekurang-kurangnya berumur 18 tahun bagi lelaki manakala 16 tahun bagi perempuan.

Sekiranya pemohon berumur kurang daripada umur yang ditetapkan, pemohon perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah. – 30 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen