10,000 pasangan Islam bawah umur kahwin dalam tempoh 10 tahun


Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat menunjukkan sejak 2007 hingga 2017, sebanyak 4,999 kes perkahwinan bawah umur juga direkodkan bagi pasangan bukan beragama Islam. – Gambar AFP, 29 Julai, 2018.

SEBANYAK 10, 000 kes perkahwinan bawah umur beragama Islam direkodkan sejak 10 tahun lalu, dengan kes tertinggi direkodkan di Sarawak, kata Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, statistik kementerian juga menunjukkan sejak 2007 hingga 2017, sebanyak 4,999 kes sedemikian direkodkan bagi pasangan bukan beragama Islam, sebagaimana dilaporkan Mingguan Malaysia hari ini.

“Jadi, pihak kementerian akan mengadakan perjumpaan bersama semua exco wanita dari seluruh negeri berhubung penetapan had kahwin bawah umur serta isu penyelarasan bantuan kebajikan yang dibincangkan bersama.

“Ini kerana isu itu bukan masalah yang berlaku di Kelantan sahaja, malah melibatkan perkahwinan adat di Sarawak,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Kota Baru, Kelantan semalam.

Yeoh berkata demikian, susulan kes perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan, bulan lalu.

Menurut beliau, perkara itu juga akan diumumkan sendiri menterinya di Parlimen pada minggu depan.

“Mengapa ada ibu bapa membenarkan anak jagaan mereka berkahwin pada bawah usia sedangkan itu merupakan tanggungjawab mereka?

“Untuk menaikkan had umur kahwin minimum (18 tahun) itu mesti dilakukan kerana merupakan sebahagian janji kerajaan Pakatan Harapan, namun bagi melaksanakannya, kita perlu faham kenapa ada jumlah kes sangat tinggi,“katanya lagi.

Dalam kes di Kelantan itu, lelaki berkenaan, Che Mohd Karim Che Hamid didenda sebanyak RM1,800 kerana berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 19 dan Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (No 6) 2002 Negeri Kelantan yang masing-masing boleh membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara 2 bulan. – 29 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen