PILIHAN Raya Kecil Sungai Kandis akan jadi pemula kerjasama antara Umno dan PAS, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata sudah takdir Allah yang Umno dan PAS akan bekerjasama seperti adik beradik.
“Apa salahnya jika kita bekerjasama macam adik beradik? Mungkin ini takdir Allah. Mungkin inilah politik masa depan,” kata Annuar kepada khalayak yang hadir pada ceramah Barisan Nasional malam tadi.
Katanya satu-satunya sebab mengapa BN kalah Pilihan Raya Umum ke-14 lalu adalah janji manis Pakatan Harapan yang sekarang terbukti sukar dipenuhi.
“Sukar untuk rakyat tolak PH. Janji terlalu manis dan terlalu bagus untuk ditolak,” kata Annuar lagi.
Bekas pengerusi Mara itu juga berkata yang selepas BN kalah, mereka menyerahkan kuasa dengan “hati terbuka” walaupun terdapat khabar angin bekas perdana menteri Najib Razak mahu mengisytiharkan darurat untuk terus berkuasa.
Annuar memberi amaran yang jika situasi sama berlaku di negara lain akan tercetus keganasan.
“Kita terima takdir. Sangat menyakitkan. 60 tahun kita tak pernah kalah. Di negara lain, akan ada pertumpahan darah,” katanya.
Annuar berada di Shah Alam malam tadi membantu kempen calon BN Lokman Noor Adam.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menentang calon PKR Zawawi Ahmad Mughni dan calon bebas K Murthy.
PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian penyandangnya Shuhaimi Shafiew pada 2 Julai lalu.
Pada PRU14, Shuhaimi daripada PKR menewaskan Kamaruzzaman Johari (Barisan Nasional) dan Mohd Yusof Abdullah (PAS) dengan majoriti undi 12,480.
Walaupun keputusan PRK itu tidak akan memberi kesan kepada kerajaan Selangor, ia akan jadi gambaran sama ada Umno masih mempunyai sokongan kuat orang Melayu.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti Islam itu akan menyokong sesiapa sahaja kecuali PH kerana kerajaan sudah gagal memenuhi janji pilihan rayanya. – 2 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan