Umno mungkin letak calon luar parti di Sg Kandis


Chan Kok Leong

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno bagaimanapun masih belum membuat keputusan muktamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2018.

UMNO tidak menolak kemungkinan meletakkan calon bukan dari parti dalam pilihan raya kecil Sg Kandis yang akan diadakan tidak lama lagi, kata Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita ada berbincang mengenai pilihan raya kecil Sg Kandis yang akan datang tetapi belum membuat sebarang keputusan.

“Mengenai calon, kita mungkin meneliti mereka yang dari luar Umno,” kata Zahid selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi pertamanya selepas pemilihan parti pada 30 Jun.

Kerusi Sg Kandis kosong selepas adunnya, Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia Isnin lalu akibat barah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Shuhaimi menewaskan calon BN, Kamaruzzaman Johari dan Mohd Yusof dari PAS dengan majoriti 12,480 undi.

Sementara itu, Zahid berkata beliau menghormati keputusan tiga adun BN di Kedah yang memilih speaker Pakatan harapan (PH) hari ini.

“Saya hormati keputusan mereka. Mereka memutuskan untuk berbuat demikian selepas Umno Kedah memberi mereka kebenaran. Keputusan itu adalah keputusan parti,” kata Zahid.

Tiga adun berkenaan bersama 15 adun PH mengundi untuk melantik Ahmad Kassim sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.

Pelantikan speaker DUN Kedah telah disebut-sebut menjadi sukar memandangkan pecahan DUN terbahagi antara 18 PH, 15 PAS dan 3 BN.

Seandainya DUN tidak dapat melantik seorang speaker, Kedah terpaksa mengadakan satu lagi pilihan raya negeri. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen